
Namun, di sebalik angka utama itu tersirat hal lebih rumit apabila persaingan serantau semakin sengit, permintaan pesakit beralih pantas, selain destinasi pelancongan perubatan sedang berlumba untuk terus menerajui pasaran.
Bagi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), persoalannya bukan lagi berkait pengekalan pertumbuhan, tetapi bagaimana menjangka arah aliran tersebut.
Majlis itu kini sedang beralih ke arah analisis ramalan dan kecerdasan pasaran dipacu kecerdasan buatan (AI) untuk mengunjurkan permintaan penjagaan kesihatan dengan lebih baik serta mengenal pasti peluang pasaran baharu lebih awal.
Berganjak langkaui pelaporan sejarah
“Lanskap ini bergerak lebih pantas, berbanding keupayaan pendekatan tradisional,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Suriaghandhi Suppiah.
Beliau berkata, kebergantungan pada data tahun lalu untuk membentuk strategi hari ini menjadi satu liabiliti, memandangkan pesakit kini lebih bermaklumat, kehebatan pesaing serantau, dan pasaran menjadi lebih rumit daripada sebelumnya.
Suriaghandhi berkata, kecerdasan ramalan akan membolehkan pihak hospital, pemudah cara, dan agensi kerajaan bertindak berdasarkan ‘maklumat yang lebih tepat dan kena pada masa’, berbanding bergantung pada angka lapuk.
“Kita berada di peringkat awal bagi keupayaan ini, namun hasrat kita adalah jelas, iaitu meluaskan sumber maklumat diperoleh, meningkatkan kepantasan menganalisisnya, dan menggunakan cerapan itu sebagai pandu arah ke mana kita perlu menumpukan tenaga dan sumber,” katanya.
Baca isyarat
Naib Presiden MHTC, Aida Idris, berkata pelaporan sejarah sahaja tidak lagi memadai dalam lanskap pelancongan penjagaan kesihatan yang semakin sengit bersaing.
“Data sejarah memaklumkan anda apa yang sudah berlaku, bukannya apa yang mendatang,” katanya.
“Promosi meluas juga bermakna kita melayan setiap pasaran dengan cara yang sama, sedangkan keperluan pesakit dan proses pembuatan keputusan mereka berbeza ketara mengikut negara, prosedur, dan demografi.”
Beliau berkata, kecerdasan ramalan membolehkan MHTC mengesan isyarat halus – trend carian, jumlah pertanyaan, corak kesihatan serantau – yang menunjukkan adanya permintaan sebelum perkara itu tertera dalam statistik ketibaan.
“Ia merupakan peralihan daripada ‘apa yang berlaku tahun lalu?’ kepada ‘apa berkemungkinan berlaku seterusnya, dan bagaimana kita bersiap sedia?’” katanya.
Suriaghandhi pula berkata, analisis ramalan akhirnya dapat membantu MHTC mengesan permintaan penjagaan kesihatan yang baharu muncul, gangguan dasar, dan jurang kesediaan hospital sebelum perkara berkenaan mula menjejaskan aliran kemasukan pesakit.
“Kita sedang melihat kepada permintaan yang baharu muncul daripada geografi sedia ada dan pasaran baharu sebelum ia diterjemahkan kepada angka ketibaan pesakit,” katanya.
Katanya, perkembangan geopolitik juga semakin membentuk aliran perjalanan penjagaan kesihatan.
“Situasi di Asia Barat adalah satu contoh yang baik, di mana AI boleh membantu menjangka peralihan permintaan dan mengalihkan perhatian ke pasaran alternatif dengan lebih cepat serta meyakinkan,” katanya.
Kekal berdaya saing dalam pasaran padat
Suriaghandhi berkata, kecerdasan ramalan akan menjadi semakin penting seiring persaingan yang kian sengit dalam kalangan destinasi pelancongan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, negara yang melabur dalam keupayaan ramalan akan berada pada kedudukan lebih baik untuk memperuntukkan sumber lebih cekap, bertindak balas lebih pantas terhadap peralihan pasaran, dan membina pertumbuhan bagi tempoh lebih panjang.
“Kelebihan sebenar datang daripada keupayaan mengenal pasti di mana permintaan mula terbentuk dan meletakkan apa boleh ditawarkan Malaysia sebelum peluang itu semakin mengecil,” katanya.
Aida berkata, kesediaan hospital akan menjadi faktor kritikal dalam mengekalkan daya saing Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan, sambil menyatakan analisis ramalan dapat membantu MHTC memadankan hospital dengan permintaan yang tepat.
“Pemasaran destinasi mampu membuka pintu, namun kesediaan hospital yang menentukan sama ada pesakit akan kembali dan sama ada mereka akan mengesyorkan Malaysia kepada orang lain,” katanya.