Marina kata tak takut tanding kawasan majoriti Melayu

Marina kata tak takut tanding kawasan majoriti Melayu

Beliau yang sebelum ini umum tidak pertahan DUN Skudai berkata pernah dihantar melakukan kerja lapangan di kawasan majoriti Melayu sejak 2021.

marina ibrahim
Marina Ibrahim menjalankan kerja sukarelawan di kawasan DUN Layang-Layang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Marina Ibrahim nafi dakwaan takut bertanding di kawasan majoriti Melayu sambil menyatakan beliau sebelum ini sudah terlibat dalam kerja lapangan politik di kawasan sedemikian sejak 2021.

Marina yang sebelum ini mengumumkan tidak berhasrat mempertahankan DUN Skudai pada PRN Johor, berkata beliau pernah dihantar ke Layang-Layang pada 2021 bagi menjalankan kerja akar umbi dan menubuhkan pusat komuniti, selain berpotensi diletakkan di kawasan itu bertanding pada PRN Johor 2022.

“Seorang budak segar tiada pengalaman, mentah dalam politik,” katanya dalam catatan Facebook.

“Dihantar buat kerja untuk lawan siapa masa tu? Dato Onn Hafiz. Siapa beliau masa tu? Exco pelancongan belia dan sukan.”

Marina berkata, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengurus kempen di Mersing semasa PRU 2022, di mana calon DAP yang pertama kali bertanding di kawasan pilihan raya dengan sekitar 76% pengundi Melayu itu berjaya mengekalkan wang pertaruhan.

“Kalau betul nak kembangkan parti di kawasan Melayu, dah lama selepas dari itu diletakan penyelaras. Akar umbi di sana suarakan isu ni berkali. Dan sekarang mana penyelarasnya untuk kembangkan kerusi?” katanya.

Marina akhirnya bertanding di Skudai pada PRN Johor 2022 dan menang dengan 26,359 undi, menumpaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Soon Hai (12,416 undi), dan calon Perikatan Nasional (PN), Khoo Keng Ek (6,258 undi).

Pada 31 Mei, beliau mengumumkan akan meninggalkan dunia politik dan tidak akan bertanding semula di Skudai.

Ketua DAP Johor Teo Nie Ching, berkata parti telah merancang untuk memindahkan Marina bertanding di DUN Tiram, dan beliau berniat untuk mencadangkan Marina sebagai pengerusi sebuah badan berkanun tanpa mengira keputusan pilihan raya berkenaan.

Satu surat yang didakwa ditulis Marina kepada Teo, yang terbit daripada perbincangan pada 17 Mei, kemudiannya tular di media sosial. Dalam surat tersebut, Marina menolak perpindahan kerusi tersebut dan melepaskan apa yang disifatkannya sebagai jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Marina berkata, keputusan meninggalkan dunia politik tiada kaitan dengan rasa kecewa atau kecenderungan memilih kawasan selamat.

“Keputusan aku tak ada kaitan dengan cerita konon merajuk ke, nak duduk tempat selesa ke. Mengarut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.