Tsunami kecil di Korea Selatan selepas gempa di Jepun

Tsunami kecil di Korea Selatan selepas gempa di Jepun

Pentadbiran Meteorologi Korea melaporkan tsunami kecil di perairan luar pantai timur Korea Selatan di wilayah Gangwon petang tadi.

Seorang pengawal pantai memantau perubahan pada paras air laut di Gangneung, Korea Selatan. (Gambar AP)
SEOUL:
Korea Selatan melaporkan tsunami kecil di bahagian Laut Timur pada Isnin susulan gempa kuat di luar pantai barat Jepun.

Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) berkata, gempa berukuran 7.6 magnitud yang menggegarkan Ishikawa dan wilayah berdekatan kira-kira 4 petang itu menyebabkan tsunami kecil di perairan luar pantai timur Korea Selatan di wilayah Gangwon pada petang tadi, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut KMA, ombak di luar pantai bandar Gangneung setinggi 20cm pada 6.01 petang, manakala gelombang yang dilihat dari sebuah lagi pantai di bandar Donghae mencecah 45cm pada 6.05 petang.

KMA mengeluarkan amaran tsunami apabila ketinggian maksimum gelombang mencapai 50cm, walaupun ombak setinggi 20cm hingga 30cm masih boleh menyebabkan kerosakan.

Katanya, ketinggian tsunami boleh meningkat ke tahap lebih berbahaya bergantung kepada air pasang surut dan memberi amaran tsunami mungkin berterusan di Gangwon lebih 24 jam.

Terdahulu, Gangwon menghantar amaran tsunami melalui mesej teks kepada penduduk di enam bandar dan daerah berhampiran laut bagi menggesa mereka berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Sebelum ini, Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami besar untuk Ishikawa dan amaran tsunami peringkat rendah atau nasihat ke seluruh pantai barat laut pulau Honshu.

Media Jepun berkata, gelombang boleh mencapai ketinggian 5m, walaupun tiada laporan segera berhubung kerosakan.

Sementara itu, Kementerian Luar Korea Selatan belum menerima sebarang laporan kecederaan atau kerosakan melibatkan rakyatnya di Jepun setakat petang tadi.

Katanya, dianggarkan 1,200 warga Korea Selatan menetap di wilayah Ishikawa dan 800 lagi di wilayah bersebelahan Toyama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.