Katanya, kedudukan istimewa adalah sebahagian daripada ketuanan Melayu negeri itu yang tetap akan ditegakkan beliau bersama dengan empat lagi Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan serta Yang di-Pertuan Besar.
Undang Rembau itu berkata, semua pembesar adat di bawahnya turut diberi peringatan supaya tidak pecah amanah dalam menjalankan tugas menjaga orang Melayu.
“Kita memang sentiasa mempertahankan Tanah Simpanan Melayu dan tanah adat, bahkan saya telah memecat seorang daripada datuk lembaga saya.
“Saya merampas tanah itu balik, fasal apa? Kerana dia memberikan tanah itu kepada orang luar. Orang Melayu… dia beri kepada orang Melayu tetapi orang luar (dari Luak Rembau). Bukan hak dia. Saya pecat dia. Yang itu saya tegas.
“Yang lain saya boleh lebih kurang, tetapi hak ketuanan kita, saya jaga. Kita akan pertahankan dan kita diberi tugas… amanah untuk itu. Begitu juga datuk-datuk lembaga. Macam saya cakap tadi… saya pecat saja (kalau yang gagal jaga hak orang Melayu),” katanya.
Undang Muhamad Sharip berkata, orang Melayu harus berbangga kerana masih mempunyai institusi Undang untuk menjaga dan mempertahankan hak Melayu di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, orang Melayu tidak sepatutnya leka dan mengambil peluang memajukan diri dengan membangunkan tanah yang digazetkan untuk Melayu negeri itu.
“Amnya, kita masih berbangga kerana masih mempertahankan hak kita. Kalau tanah itu namanya Timah binti Abu, maka Timah binti Abulah pemiliknya. Walaupun tanah itu nampak hutan tapi dalam hutan itu ada kerbau.
“Tapi kalau dapat dibangunkan lagi cantik. Tapi sendirilah, takkan semua hendak kerajaan (bangunkan). Semua itu boleh dibangunkan sendiri. Usaha, (misalnya) buat kebun. Satu kelompok itu, diusahakan,” katanya.
