Selepas BN kalah, ini tajuk akhbar cetak hari ini

Selepas BN kalah, ini tajuk akhbar cetak hari ini

Sorotan tajuk akhbar 'arus perdana' yang sebahagiannya dilihat pro-BN dan menghentam pembangkang selama ini.

PETALING JAYA:
Hampir kesemua akhbar aliran utama yang rata-rata pro-kerajaan Barisan Nasional (BN) mengakui kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam kejutan keputusan pilihan raya umum semalam.

Berikut senarai berita muka depan akhbar utama pelbagai bahasa pada 10 Mei.

Akhbar berbahasa Inggeris The Star tampil dengan tajuk muka depan, “Dr M to be sworn in” iaitu Dr Mahathir akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Selain meletakkan carta kerusi yang dimenangi setiap parti, ia juga menyenaraikan menteri BN yang kecundang pada PRU ini.

Berita Harian pula meletakkan tajuk, “Mahathir isytihar menang PRU-14”. Ia juga membariskan 7 wajah ahli politik berpengaruh yang menang dari kesemua parti di samping 7 lagi pemimpin BN yang kalah dalam PRU ini.

Utusan Malaysia, akhbar terkenal dengan gelaran lidah Umno dan BN, Utusan, mengakui realiti yang berlaku. “Gabungan PKR umum menang,” umum Utusan, disertai kapsyen bergambar menunjukkan Dr Mahathir dikelilingi pimpinan PH dan wartawan pada sidang akhbarnya awal pagi tadi.

Akhbar Kosmo! juga tidak ketinggalan melaporkan kejutan semalam, tetapi dengan tajuk cukup menarik: “Tsunami rakyat tenggelamkan BN”. Ia meletakkan wajah bekas perdana menteri Najib dan bakal perdana menteri Mahathir sebelah menyebelah, disertai dengan carta kedudukan kerusi setiap negeri dan trivia mengenai keputusan PRU.

Sebuah lagi akhbar tabloid, Harian Metro yang sering memapar berita sensasi pula memilih tajuk, “PRU milik PH”.

New Straits Times, akhbar milik Media Prima yang antara paling lantang berkempen untuk Najib, menyatakan: “Pakatan claims victory” iaitu “Pakatan dakwa kemenangan”. Gambar Mahathir bersama kru PH iaitu Mohamad Sabu, Datuk Seri Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lain turut menghiasi akhbar tersebut.

Akhbar Tamil, Tamil Malar yang pernah mengkritik MIC sebelum ini tampil dengan tajuk, “Tsunami rakyat membawa kemenangan besar” (Makkal tsunami’yaal maaberum vetri). Ia juga meletakkan berita kemenangan Najib di Pekan dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Tamil Nanban pula tampil dengan beberapa tajuk utama di muka depannya iaitu, “Pakatan rampas pemerintahan”, “Dr Subra dan pemimpin utama BN kalah”, “Kejutan dalam sejarah pilihan raya”, “Pakatan menang besar di 7 negeri termasuk Negeri Sembilan”.

Makkal Osai pula memfokuskan kemenangan calon Bebas pro-PH di Parlimen Batu, dengan tajuk, “Prabagaran cipta sejarah” dan “Pakatan Harapan menuju kemenangan, rakyat bersama kami, laung Mahathir”. Ia memaparkan gambar detik kemenangan calon paling muda berusia 22 tahun, P. Prabagaran dan Dr Mahathir menunjukkan jari telunjuk berdakwat.

Akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily New memapar jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding dan menggelar pilihan raya ini sebagai tsunami Melayu, selepas PH menyapu beberapa negeri di samping kemenangan PAS di 2 buah negeri.

China Press menggunakan tajuk terus-terang, iaitu PH memenangi 112 kerusi Parlimen.

Sin Chew Daily menggunakan tajuk dramatik: “Tsunami rakyat parahkan keadaan BN” sebagai muka utama akhbar yang pernah dikenali sebagai Sin Chew Jit Poh suatu masa dahulu, dan tidak ketinggalan memetik perkataan “tsunami” dalam laporannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.