
Nak tengok wayang? Tak tahu nak tengok cerita apa? Di sini kami senaraikan filem-filem tempatan yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.1. Hanyut – 24 November
Sesungguhnya penantian itu satu penyeksaan. Begitulah yang dapat dikatakan tentang filem Hanyut arahan pengarah tersohor U-Wei Haji Saari. Pada asalnya, filem ini sepatutnya menemui penonton pada tahun 2013. Namun ia terpaksa ditunda atas sebab kekurangan dana promosi.
Akhirnya, seperti yang diumumkan bulan lepas, filem ini bakal ditayangkan di Malaysia pada 24 November.
Digarap daripada novel Joseph Conrad yang bertajuk Almayer’s Folly, filem ini dibintangi Diana Danielle, Sofea Jane, Adi Putra dan Peter O’Brien.
https://www.youtube.com/watch?v=f2fd4TGr7P4
2. Interchange – 1 Disember
Diarahkan Dain Iskandar Said, Interchange dibintangi Shaheizy Sam, Iedil Putra, Nicholas Saputra dan Prissy Nasution.
Filem genre thriller fantasi ini sudahpun ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa, termasuk di Locarno International Film Festival di Switzerland.
Berkisar seorang jurugambar forensik Adam, lakonan Iedil Putra, Interchange bakal membawa penonton menyelami dunia paranormal yang menyulami realiti.
Kehadiran Nicholas juga mempunyai daya tarikan yang tersendiri, memandangkan pelakon Indonesia tersebut sinonim dengan watak Rangga di dalam filem Ada Apa Dengan Cinta, cukup popular di sini.
3. Desolasi – 8 Disember
Boleh dilihat sebagai percubaan yang menampakkan kelainan daripada filem-filem keluaran Skop Productions sebelum ini, Desolasi merupakan hasil arahan pengarah muda Syafiq Yusof.
Desolasi diterajui oleh Syamsul Yusof dan Bella Daly serta Datuk Jalaluddin Hassan dan Pekin Ibrahim, antara lain.
Berdasarkan trailer, kelihatan Syamsul yang memegang watak utama berkeliaran di ibu kota Kuala Lumpur yang kosong, tanpa hiruk-pikuk seperti kebiasaannya. Walaupun kosong, jangan terkejut kerana tiba-tiba ada dinosaur yang akan muncul, selain pelbagai keunikan yang dipilih Syafiq untuk dipaparkan di dalam filem ini.
4. Upin dan Ipin: Jeng Jeng Jeng! – 24 November
Siapa tak kenal Upin dan Ipin? Pasangan kanak-kanak animasi ini bakal menemui peminat di pawagam menerusi filem bertajuk Upin dan Ipin: Jeng Jeng Jeng!
Antara barisan pelakon yang mewarnai filem ini adalah Asyiela Putri, Puteri Balqis, Awie, Remy Ishak dan Sara Ali.
Filem arahan Erma Fatima dan Hajah Ainon Ariff ini diterbitkan Les’ Copaque Production Sdn Bhd bersama Kru Studios.
5. Bo-Peng – 22 Disember
Terbitan Pencil Pictures, filem Bo-Peng dibintangi Johan As’ari, Nabil Ahmad, Zulin Aziz, Soffi Jikan dan Wanna Ali.
Diarahkan Helmi Yusof, filem genre komedi thriller ini menggandingkan Nabil dan Johan sebagai dua watak utama yang bernama Bo dan Peng.
6. Apprentice – 24 November
Bukan karya tempatan, namun kami merasakan ia perlu disebut di sini kerana turut menampilkan pelakon Malaysia Wan Hanafi Su sebagai pelakon utama.
Filem Singapura arahan Boo Junfeng ini berkisar tentang pelaksanaan hukuman gantung di penjara republik tersebut.
Selain Wan Hanafi Su, filem ini dibintangi Fir Rahman, Mastura Ahmad, Koh Boon Pin, Nickson Cheng, Crispian Chan dan Gerald Chew.
Dikategorikan sebagai drama psikologi, filem ini sudahpun ditayangkan di Singapura pada Jun lalu. Ia turut ditayangkan di pelbagai festival filem antarabangsa, termasuk Cannes.
Teruja nak tengok filem-filem yang kami sebut di atas? Jangan lupa tandakan kalendar anda. Bagi anda yang tertanya-tanya apakah filem tempatan yang sedang ditayangkan di pawagam, jawapannya ialah Rock Bro! Kembali Ke Pangkal Jalan.
Terkenal dengan filem-filem seperti Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang dan Zombie Kampung Pisang, tawaran terbaru pengarah Mamat Khalid ini sedang rancak ditayangkan di pawagam.
Diterbitkan Primeworks Studios Sdn Bhd, filem yang mula ditayangkan pada 27 Oktober lalu sudahpun mencatat kutipan melebihi RM1.9 juta pada 1 November, seperti yang dilaporkan di laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan dan Azmi Bahrom adalah sebahagian daripada nama-nama yang membintangi filem ini.
Nak tempah tiket atau nak semak waktu tayangan? Kami senaraikan pawagam-pawagam utama di mana anda boleh menonton Rock Bro! Kembali ke Pangkal Jalan.
mmCineplexes
Tanjong Golden Village Cinemas (TGV)
Golden Screen Cinemas (GSC)
MBO Cinemas
Lotus Five Star Cinemas