
Pusat sehenti berkonsep urban ini menyediakan pelbagai segmen seperti permainan, pendidikan, peruncitan, makanan dan minuman serta perkhidmatan.
The Parenthood di Sunway Pyramid melibatkan kos RM5 juta dan merangkumi kawasan seluas 26,000 kaki persegi dengan lebih 45 jenama produk antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif The Parenthood, Leroy Lee ketika ditemui di majlis pelancaran berkata, pusat itu akan mencapai jangkaan ibu bapa dan kanak-kanak kerana kandungannya yang disediakan secara teliti dan profesional menepati kehendak semua.
“Kami bawakan konsep ‘London Street’ dalam taman The Parenthood. Antara elemen yang disediakan menggambarkan konsep itu ialah bas 2 tingkat sebenar kota London, pondok telefon, menara jam Ben, laluan jalan dan kolam air pancut seperti mana yang terdapat di Parlimen London,” katanya merujuk kepada rekaan dalaman taman tersebut.
Tambahnya lagi, setiap segmen misalnya, permainan diatur sedemikian rupa supaya kanak-kanak tidak cepat bosan malah berpeluang untuk meneroka lebih banyak daripada taman tema biasa.
“Selain itu, kami juga menempatkan perkhidmatan pendidikan pra-sekolah antarabangsa yang mengikuti silibus pembelajaran dari London dengan kemudahan 5 bintang. Ini tidak termasuk kedai runcit kecil yang menjual produk di samping mendidik kanak-kanak dan tempat makan minum serta spa dan salun untuk ibu bapa,” jelas Leroy sambil menunjukkan Gems Studio dan pusat urut di hadapan pintu masuk taman permainan itu.
Ditanya mengenai harga tiket dan aktiviti lain yang disediakan, Leroy berkata ia masih mengekalkan harga sederhana tanpa kompromi kualiti dan perkhidmatan.
The Parenthood turut memperaga barisan 12 finalis Mrs Parenthood 2016, melibatkan golongan ibu dalam pertandingan ratu cantik yang akan menutup tirainya pada bulan hadapan.
“Pertandingan ratu cantik The Parenthood ialah kempen tanggungjawab korporat (CSR) kami untuk memanja dan menghargai ibu dengan belaian, sesi gim, rawatan dan latihan kecantikan serta ubah suai menyeluruh secara percuma dan tanpa had.
“Ia dibawakan dengan tema ‘Mengembalikan Semula Kecantikan’ demi menampilkan imej diri yang positif, berkeyakinan dan tentunya, menyerlahkan kecantikan,” kata Leroy.