
Kesedihan melanda rakyat Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia ekoran berita mendukacitakan mengenai pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.Di mata urang Sarawak; Beliaulah hero. Beliaulah penyatu Sarawak.
Namanya gemilang kerana keputusannya dalam merangka polisi kerajaan negeri dan undang-undang Sarawak.
Beliau memberi titik noktah untuk perkataan sensitif seperti “pendatang” terhadap kaum Cina di negerinya itu.
Pernah sekali seorang rakan memberitahu, betapa hidup di Kuala Lumpur memenatkan dan jika diberi peluang, dia mahu “settle-down” di Miri, Sarawak.
Terfikir juga, daripada bepuluh, beratus lokasi kenapa dia memilih Miri di Sarawak.
“Supaya saya boleh hilang daripada ‘client’ saya dan bersatu dengan alam semula jadi tanpa membelakangkan kemodenan. Antara lokasi yang saya pernah pergi, Miri is my favourite. Maju tapi ‘slow-pace’, tenang dan masyarakatnya lebih terbuka,” katanya.
Seorang lagi rakan, Li Shian yang kini tinggal di Kuala Lumpur pula berkata patriotisme orang Sarawak kepada Adenan Satem sama seperti patriotisme rakyat Thailand kepada rajanya.
Calvin Ohsey, seorang lagi rakyat Sarawak dari Kampung Rumih, Bau, 35KM dari Kuching yang kini tinggal di Johor atas urusan kerja berbangga menjadi rakyat Sarawak.
Akui semua tempat ada nilai keunikan dan sensitiviti tersendiri, graduan komputer sains ini berkata, Sarawak adalah tanah kelahiran masyarakat berbilang bangsa dan kaum.
“Terdapat lebih 60 suku kaum di Sarawak. Kami tidak suka pada provokasi meskipun terdapat perbezaan pendapat dalam pelbagai isu. Kami tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak bekerjasama mahupun permusuhan lama. Sebaliknya, warga Sarawak terkenal dengan sifat ramah dalam meraikan kemajmukan,” katanya berbangga.
“Kami tidak taksub dengan ketuanan bangsa mahupun agama. Ia boleh dilihat apabila masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum mahupun agama dengan mudah berkongsi meja makan bersama dalam satu restoran atau kedai makan yang menyajikan kedua-dua makanan halal dan tidak halal.
“Sudah tentu ini sukar dilihat di Malaya (Semenanjung Malaysia). Ini mungkin disebabkan juga masyarakat Sarawak yang terkenal dengan perkahwinan campur dalam keluarga yang memerlukan toleransi yang tinggi,” ujarnya.
Perkara ini baharu bagi sesetengah orang, khususnya kita di Semenanjung, tetapi itulah istimewanya Sarawak.
Ditanya juga mengenai demografi umum Sarawak, Calvin menjelaskan majoriti masyarakatnya masih tinggal di kawasan perkampungan dan hutan belantara yang menjadi nadi kepada masyarakat luar bandar.
Itu pun menarik kerana kalau di sini, kita sibuk membersihkan hutan atas nama pembangunan, Calvin pula menggambarkan hutan sebagai nadi kepada masyarakat luar bandar Sarawak.
Malah ia juga diakui antara faktor negerinya kurang terdedah kepada masalah sosial.
“Mungkin juga kerana kami tidak terdedah kepada anasir luar mahupun pengaruh media yang tidak sihat,” jelasnya.
Bagi seorang lagi rakan yang hanya mahu dikenali Lily. Dia dari Miri kini tinggal di Ampang dan tidak pernah jemu bercerita mengenai kampung halamannya.
Berita mengejutkan semalam mengundang rasa rindunya terhadap tanah kelahirannya, lantas menyampaikan takziah kepada keluarga Ketua Menterinya itu.
“Saya habiskan masa di KL. Tetapi ibu bapa saya banyak beri reaksi positif sejak Adenan Satem menjadi Ketua Menteri. Perubahan yang dibawa olehnya sangat drastik,” katanya.
Mengenangkan kampung halamannya yang kini bergelar bandar raya, Lily akui perbezaan taraf bandar raya di sana berbanding di Semenanjung.
“Mungkin kami terima status itu dari aspek kemuafakatan dan keterbukaan yang lebih sedikit dari mana-mana negeri di Malaysia. Ia tetap sebuah bandar yang cantik, menghijau dan aman,” jelas wanita ini.
Mempunyai kepadatan pendudukan yang paling rendah, negeri ini terus mengekalkan sifat tradisi dalam semua aspek kehidupan.
“Kamu boleh lihat orang asal dalam gaya hidup tradisi, rumah panjang yang didirikan di semua penempatan pelbagai etnik, sukan dan tarian tradisi yang dimainkan hampir sepanjang masa khususnya dalam majlis kebesaran dan tidak dilupakan lokasi yang ‘dijaga’ seperti hutan serta gua,” katanya.