
Bagi Harriet Jenkins, zaman kegemilangannya adalah ketika beliau menjadi “bintang pujaan” ramai apabila berat badannya susut lebih 50%, daripada 165kg kepada 70kg.
Dengan bergaun hitam bercorak dan berambut perang muda, wanita setinggi 172cm itu boleh berbangga dengan perubahan dikecapi dirinya, daripada baju bersaiz 30 (Eropah) kepada saiz 10 dalam masa 15 bulan.
Kejayaan itu seterusnya menyebabkan beliau dinobatkan “Slimming World’s Woman of the Year”. Tetapi, itu cerita 7 tahun lalu.
Transformasi itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama beberapa minggu sebelum badannya kembali “berisi” dan menjadi semakin gemuk.
Jenkins adalah seorang daripada “Super slimmers” yang ditemuramah Channel 4 untuk dokumentari sukar mengekalkan penurunan berat badan.
Difahamkan, 40% daripada mereka mengalami penurunan berat badan melampau sehingga mencecah 127kg, namun keadaan itu tidak kekal kerana mereka kembali gemuk dengan cepat, kata pakar dipetik Daily Mail.
Selain Jenkins, seorang wanita berusia 59 tahun dari Lancaster, Jane Hall dinobatkan sebagai ratu langsing Rosemary Conley pada 2012.
“Anda popular bila menang pertandingan besar. Rasanya hebat, semua orang mahu bercakap mengenai ‘kejayaan’ saya dan bagaimana saya menjadi inspirasi mereka,” kata Jane.
Masalah sama turut dihadapi warga emas itu apabila berat badannya naik 50% berbanding jumlah “lemak” yang berjaya disingkirkannya.
Keadaan itu menyebabkan beliau segan keluar rumah kerana “ia berlaku begitu cepat”.
Seorang profesor psikologi dari University of Surrey, Jane Ogden menyenaraikan sebab golongan itu tidak dapat mengekalkan berat badan selepas kurus.
“Mereka tidak selesa dengan berat badan baru itu. Maknanya mereka lebih selesa dengan sedikit lemak tambahan.
“Selepas terpaksa mematuhi amalan diet ketat, mereka perlahan-lahan kembali kepada diet asal kerana teringin, terpaksa atau sekadar mencuba secara suka-suka. Akhir sekali tiada disiplin,” katanya.
Profesor psikologi kesihatan dari Universiti Minnesota, Traci Mann berkata, mereka tidak memahami biologi badan dan diet.
“Ramai yang tidak tahu diet bukanlah penyelesaian jangka pendek. Badan secara fizikal berubah kerana diet, tahap metabolisme dan perubahan hormon yang menjadikan anda lapar.
“Oleh kerana kurang pengetahuan ini, mereka menyalahkan diri apabila berat naik semula.”
Dr Thomas Barber, pakar endokrinologi dari University Hospital Coventry di England berkata, lemak akan hilang ketika berlapar dan untuk kekal bertenaga, seseorang itu perlu makan.
“Selain itu, penyusutan berat badan juga bermakna metabolisme berkurangan. Jadi, kena makan sedikit untuk stabilkan metabolisme itu.
“Ada yang berpendapat, tidak guna berdiet kerana berat badan akan tetap naik semula, kesimpulannya mereka putus asa,” katanya.