Dari UAE ke Mumbai untuk kurangkan berat badan 500kg

Eman-Ahmed1

fmt-ohsem-inside-article1Sewaktu Eman Ahmed, 37, tiba di India pada bulan Februari tahun ini, berat badannya sekitar 500 kilogram, dan wanita Mesir ini dilaporkan wanita paling berat di dunia.

Beliau meninggalkan Mumbai pada minggu pertama Mei dengan berat badan berkurangan sebanyak 324 kilogram.

Namun Eman dikatakan tidak berpuas hati dengan pencapaiannya dan meneruskan rawatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beberapa hari sebelum berlepas ke UAE, saudara perempuannya Shaimaa Selim menyuarakan rasa tidak puas hati serta kecewa dengan rawatan Eman. Beliau mendakwa janji yang dibuat untuk pemulihan Eman tidak tercapai.

Sebaik sahaja kritikannya itu dilaporkan media, doktor Eman, Muffazal Lakdawala menulis blog untuk menyangkal dakwaan Shaimaa’ dan menjelaskan proses rawatan wanita ini yang diterbangkan ke Mumbai dengan pesawat kargo dilengkapi peralatan perubatan.

Kritikan Shaimaa dikaitkan dengan rawatan yang tidak mencukupi dan pihak doktor tidak berkata benar tentang keadaan kakaknya di sebalik pengurangan berat badan Eman yang begitu banyak selepas menjalani beberapa prosedur sejak dimasukkan ke Hospital Saifee pada 11 Feb.

Apa yang menjadi punca pertelingkahan ialah keadaan pesakit yang tidak mampu melakukan kegiatan biasa seperti berjalan dan Muffazal beranggapan keadaan ortopedik Eman amat rumit.

“Shaimaa mengimpikan kakaknya boleh berjalan semula dan saya sendiri akan menjadi orang yang paling gembira sekiranya impian itu menjadi kenyataan tetapi malangnya keadaan ortopedik Eman tidak menyebelahinya,” doktor itu menulis dalam blognya.

Beliau berkata, “Shaimaa tidak berkata benar yang saya berjanji akan membolehkan Eman berjalan semula dan saya memungkiri janji ini.

Äpa yang saya janjikan ialah Eman akan menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berat badannya akan berkurangan, itu saya sudah penuhi. Saya bukan pakar bedah ortopedik tetapi pakar bedah bariartrik (pakar yang menjalankan prosedur pembedahan untuk mereka yang mengalami masalah obesiti).

Eman mempunyai keadaan perubatan yang menyebabkan anggota serta tisu badan membengkak. Menurut laporan, beliau diserang sakit ahmar pada usia 11 tahun dan mempunyai masalah perubatan lain berkait dengan obesiti.

Pada hakikatnya cabaran untuk merawat Eman begitu ketara.

Memetik kata-kata Muffazal: “Untuk membawanya ke lapangan terbang sahaja, kami terpaksa memecahkan satu dinding rumahnya dan mengggunakan kren untuk mengangkatnya keluar. Bukan mudah dan ada risiko. Kami berjaya melakukan semua itu.”

Menurut beliau Shaimaa mahu pihak hospital membiarkan Eman di hospital itu sehingga beliau mampu berjalan tetapi ia mustahil untuk dilakukan selepas mendengar nasihat pakar bedah ortopedik.

Pakar bedah itu mendapati “struktur tulang Eman terlalu lemah” dan hakikat ia tidak digunakan bertahun-tahun lamanya memburukkan lagi keadaan.

Eman dilaporkan tidak keluar rumah selama lebih 2 dekad.

Menurut laporan media India, hubungan antara pihak pesakit dan kakitangan hospital juga tidak lagi mesra. Kakitangan jururawat hospital berasa segala penjagaan yang mereka berikan untuk Eman tidak dihargai sementara keluarga Eman pula kecewa kurangnya rawatan untuk pesakit itu.

Industri penjagaan kesihatan India pastinya memberi tumpuan kepada kes ini sebagai pengajaran untuk mengendalikan kes perubatan pesakit asing.

Bilangan warga asing mencari rawatan perubatan di India dilaporkan semakin meningkat. Ramai rakyat dari negara-negara seperti Afghanistan dan Bangladesh datang ke India termasuk dari Barat bagi rawatan yang disediakan pada kos yang lebih rendah.

Mutu penjagaan kesihatan di hospital pakar serta moden India memang boleh dipuji tetapi warga asing sering berdepan dengan cabaran termasuk interaksi sosial, mutu tempat tinggal, prasarana awam, kualiti makanan dan pengangkutan.

Kita mungkin boleh membuat spekulasi cabaran ini mungkin menyumbang kepada kekecewaan yeng melanda keluarga Eman di Mumbai.

Eman berlepas ke UAE dengan pesawat yang disewa khas dan diiringi sepasukan doktor.

Diharapkan Hospital Burjeel di UAE mampu memberi rawatan supaya Eman dapat berjalan semula dan menjalani kehidupan yang diimpikan.

Apabila beliau sudah pulih dan sihat, pasti Eman akan berasa terhutang budi dengan doktor, jururawat serta pihak lain ketika beliau menjalani rawatan di Hospital Mumbai.