
Selepas gambar iklan poster wanita Shell yang disalah guna dengan aksi senonoh tersebar, syarikat stesen minyak itu mengambil keputusan menurunkan semua papan poster itu di seluruh negara.Dalam kenyataan kepada media, Shell berkata, keputusan itu diambil berikutan gambar tersebut digunakan oleh beberapa lelaki dengan perilaku tidak senonoh sehingga tular di media sosial.
Wanita itu digunakan sebagai model mempromosikan bahan api rangkaian stesen minyak tersebut di seluruh negara.
Tambah Shell lagi, pihaknya tidak akan membiarkan tindakan kurang sopan itu, yang jelas bertentangan dengan nilai teras syarikat itu dan budaya rakyat Malaysia.
“Kami menggesa semua orang ramai dan netizen berhenti berkongsi lagi imej-imej tersebut. Papan poster ini akan diturunkan dari semua stesen minyak Shell berkuat kuasa serta-merta,” petik kenyataan itu.
FMT Ohsem memetik laporan mStar Online yang menyatakan model wanita terlibat, Nor Shafila Khairusalleh, 25 kesal dengan kelakuan sesetengah lelaki yang bertindak melampaui batas dengan menyentuh tubuh badan selain “mencabul” maruah dirinya walaupun sekadar dalam poster.
Lelaki yang bertindak tidak senonoh itu kemudiannya dikhabarkan sudah memohon maaf secara terbuka di media sosial Instagram miliknya mengakui kesilapan yang dilakukannya.
Bagaimanapun akaun Instagram dipercayai milik lelaki itu, ‘_nasrulazmi’ tidak dapat dikesan, mungkin sudah dipadamkan tetapi dirakam papar oleh pemilik Facebook bernama Mualim Mohd Fadhli.