Mengenang kumpulan muzik era 90an

Mengenang kumpulan muzik era 90an

90-an juga era kelahiran kegemilangan kumpulan dan penyanyi seperti KRU, Elite, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Ning Baizura, Sheila Majid, M Nasir dan Jamal Abdillah.

90s
fmt-ohsem-inside-article1Ingat lagi kugiran era 90an?

Kebanyakan kita membesar mendengar lagu kugiran era 90-an yang boleh dikatakan zaman reformasi pelbagai genre muzik seperti pop, Rock, dangdut, irama Malaysia dan sebagainya.

Ia juga era kelahiran serta kegemilangan ramai pemuzik dan kumpulan tertentu seperti KRU, Elite, penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Ning Baizura, Sheila Majid, M.Nasir, Jamal Abdillah dan ramai lagi.

Bagi kebanyakan kita yang lahir pada zaman lewat 70an dan sekitar 80an, pasti ingat apabila masing-masing sibuk menghasilkan buku skrap lirik lagu, biodata dan gambar penyanyi pujaan, sekaligus mewujudkan kelab peminat tersendiri.

Ingat lagi tak?

Maklumlah ketika itu mana ada internet atau Google, kalau mahu mendekatkan diri dengan lagu atau penyanyi yang diminati, kenalah mendengar serta menghafal lagu tersebut.

Merakam lagu dari radio atau mendengar lagu dalam kaset dan menulis lirik serangkap demi serangkap, ditambah pula mencari gambar artis surat khabar atau majalah seperti URTV.

Sekarang mari kita imbas kumpulan penyanyi yang pernah menggegarkan negara tetapi hilang dimamah masa, kecuali beberapa yang masih mampu bertahan, sekurang-kurangnya nama kumpulan itu terus diingati.

Dalam siri ini, FMT Ohsem memilih 7 kugiran lelaki yang paling dikenali pada era 90-an untuk mengimbas kenangan zaman muda anda.

KRU

kru
Mampu bertahan selepas menginovasi jenama mereka. Kumpulan ini terdiri daripada 3 pemuzik adik beradik iaitu Norman, Yusry dan Edry. Mereka menjadi pencetus perkembangan aliran muzik rap dan hip-hop Melayu di Malaysia. Muncul pada 1992 di bawah label EMI Malaysia, trio ini menggegarkan industri muzik tanah air dengan lagu hits berjudul Awas!, Mengerti, Janji Tinggal Janji dan Di Dalam Dilema. Tidak dilupakan, album Ooh! La! La! pada tahun 1996 dan Krumania pada 1997. Kumpulan ini pernah berduet bersama kumpulan Elite dengan lagu Di Pintu Syurga. Kini mereka berkembang pada tahap lebih besar dengan menguruskan artis naungan, menerbitkan drama dan filem tempatan serta antarabangsa seperti Vikingdom, Magika, Cicak Man dan sebagainya.
4U2C
4u
Ditubuhkan pada 1992 oleh Mizal Zaini yang kini lebih dikenali dengan nama AC Mizal bersama Azam dan Joe. Kumpulan ini berkembang lagi selepas bertemu Man Senoi dan Mama Rap. Ekoran itu kumpulan tersebut menambah 4 lagi anggota iaitu Adik, Lan, Yanz dan Rin. Terkenal dengan lagu-lagu Rap sehingga dilantik menjadi duta jenama minuman tin tempatan ketika itu yang bernama RAP. Kumpulan ini aktif sekitar tahun 1992 sehingga 1996 menerusi album pertama 4U2C. Seperti biasa, kumpulan ini berhadapan pelbagai masalah dalaman dan terbubar.
Shades
shades
Kumpulan ini pada awalnya terdiri daripada 3 orang kemudian berkembang kepada 5 iaitu Izzee, Nazrea, Jeri, Saiful dan Wan. Cara nyanyian harmoni dan acapella mempopularkan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1993 ini. Album pertama mereka, berjudul Shades dan lagu-lagu popular mereka ialah, Jangan Ucap Selamat Tinggal, Malam, Yang Teristimewa dan sebagainya. Kumpulan ini juga meraih gelaran Artis Baru Terbaik dan Anugerah Vokal Berkumpulan Terbaik di Anugerah Industri Muzik 1996. Ingat tak?
Kool
kool
“Kami Orang-Orang Lama”, adalah maksud sebenar nama kumpulan yang disertai Jay, Hairie, Pat, Riot dan Zack. Antara album mereka ialah Bebas, Satu Arah dan Fantasi. Kumpulan Kool pernah mewakili Malaysia untuk MTV Malaysia dan Jepun serta ke Festival Muzik Shanghai yang berlangsung di China dan meraih tempat ketiga pada pertandingan tersebut. Tahun 1995 dan 1996 merupakan zaman kegemilangan apabila mereka menjuarai kategori Pop Rock di Anugerah Juara Lagu bagi lagu, Kau Dan Aku dan juga Bebas.
A2Z
a-z
Kumpulan A2Z atau juga dikenali sebagai A to Z, merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang pernah aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu Melayu. Mereka diangotai Lan, Jeff, Fendi (Affendey Zainon) dan Chap. Mereka terkenal dengan lagu Melayu berunsur daerah dan loghat Kelantan. Penyanyi utamanya, Lan pernah membintangi filem Gemerlapan sebagai hero. Salah seorang bekas ahli kumpulan A2Z, Fendi meninggal dunia pada 23 April 2008. Antara Album pernah dihasilkan kumpulan A to Z adalah Comel (1995), Iyo ko (1996), A to Z 3 (1998), Eklusif 98 (1998) dan Bang Bang Boom (2000)
Ukays
ukays
Album pertama mereka, Tinggal Irama dibawah label Varia Music pada 1991 oleh Saari Amri. Namun vokal yang tidak mantap mengakibatkan album itu tidak mendapat sambutan dan jualannya tidak sampai 1000 keping. Kumpulan ini terumbang ambing dan syarikat Varia Music pula ditutup. Selepas itu Saari Amri buka syarikat sendiri bersama dengan Ridhuan Abu Bakar iaitu Mekar Production. Kumpulan Ukay juga melalui reformasi dengan huruf “s” di tambah dipenghujung menjadi Ukays. Album berjudul Bisa Berbisa mencipta sejarah dengan 350,000 unit dijual pada 1994. Ukays bertahan seketika dan bersaing dengan band besar seperti Wings dan Search. Antara lagu yang popular Ukays ialah Seksa, Kau Satu-Satunya, Siapa Yang Rampas Cintamu, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.
XPDC
tah
Ia dianggotai oleh Mael (Vokalis), Izo (Gitaris), Man Tobey (Bassis) dan Yazid (Drum). Kumpulan itu terhasil daripada kumpulan Tragedy. Selepas anggota asal Tragedy, Yazid dan Man Tobey menarik diri, mereka digantikan dengan Lee Space dan Zuar di bawah XPDC. Pemain drumnya, Lee Space juga keluar dari kumpulan itu dan diganti oleh Amy. Kumpulan XPDC mencipta nama dengan lagu “C.I.N.T.A” ciptaan Z N Kevin dan lirik oleh J S Kevin. Lagu tersebut pernah ke final Juara Lagu 1990 dengan persembahan mantap XPDC. XPDC bertahan selepas pelbagai kontroversi sehinggalah album Brutal (album terakhir Mael bersama XPDC) terjual melebihi 350,000 unit. Tetapi akibat keluar masuk beberapa anggota, kumpulan itu akhirnya hilang jua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.