
Seorang bintang pop ditahan di Mesir selepas disyaki menimbulkan rasa tidak senonoh menerusi aksi dalam klip video muzik terbarunya.Shyma dikatakan merangsang penonton secara lucah dengan gerak tariannya dengan mengenakan pakaian dalam sambil memakan buah pisang dan menjilat buah epal di hadapan bilik darjah di hadapan beberapa lelaki dengan perkataan “Class #69” tertulis pada papan hitam.
Tentunya, perkara itu menimbulkan pelbagai kontroversi dan aduan sehingga dia ditahan.
Banyak pihak termasuk media tempatan tidak ketinggalan mengutuk perbuatan Shyma. Akhbar Youm7 menulis, “Singer Shyma presents a lesson in depravity to youths” (Penyanyi Shyma menunjukkan keterlanjuran yang menghina kepada belia).
Bagaimanapun Shyma pula menyatakan tindakan menahannya sebagai satu bentuk penindasan wanita oleh negara yang pernah diundi sebagai negara paling teruk untuk wanita dalam satu tinjauan tahun 2013.
Dia yang berusia 21 tahun itu turut meminta maaf atas perbuatan tidak disengajakan itu.
“Saya memohon maaf kepada semua orang yang menonton klip video dan tersinggung serta melihatnya dalam cara yang salah,” tulisnya di media sosial.
“Saya tak menduga langsung akan berdepan ancaman ini. Saya hanya seorang pemuzik muda yang membina impian menjadi penyanyi sejak kecil,” katanya lagi.
Shyma nampaknya memang terkenal dengan klip lagu pop yang menonjolkan diri secara sensual dan seksi.
Wanita di Mesir banyak berdepan diskriminasi sama ada daripada keluarga, pemimpin negara atau undang-undang yang mengutamakan lelaki.