
Bertentangan dengan tanggapan umum, iaitu wanita bujang lebih tertekan dalam perhubungan atau sukar untuk wanita hidup bersendirian, sebenarnya kajian menunjukkan keadaan itu lebih mencabar bagi lelaki.Satu kajian di United Kingdom mendapati sekitar 71% lelaki bujang merasai tekanan tertentu dalam mencari teman hidup berbanding 58% wanita yang berasa sama.
Dapatan itu dipetik dari kajian laman web eHarmony dan badan sokongan perhubungan, Relate.
Dr Linda Papadopoulos, seorang psikologi dari eHarmony berkata, wanita menggunakan hubungan persahabatan sesama jantina lebih baik berbanding kaum lelaki.
“Walaupun ia kelihatan janggal tetapi lelaki bujang memang lebih tertekan untuk mencari pasangan hidup dan membina hubungan,” katanya.
“Ia mengubah persepsi umum yang sering mengatakan lelaki bujang lebih ‘happy go lucky’ dan pandai menyesuaikan diri dalam kehidupan bujang berbanding jantina lawannya,” tambahnya lagi.
Bagaimanapun kajian ini tidak mengenepikan faedah hidup bersendirian. Ia melibatkan perkara seperti kebebasan peribadi, masa untuk hobi baharu, bebas melakukan apa sahaja yang kita mahu termasuk keluar lewat malam.
Pendek kata, kajian ini menyimpulkan:
- 41% responden lebih memilih membujang daripada berakhir dengan pasangan yang salah.
- 47% lelaki merasakan kesepian hidup membujang memberi impak negatif berbanding 43% wanita yang berfikiran sama.
- 77% lelaki dan wanita bujang akui merasa sepi.
- 45% mendapati status bujang sebagai punca utama kesepian dalam hidup mereka.
Ketua eksekutif Relate, Chris Sherwood pula berkata, walaupun bersendirian menjadi punca kesepian, namun ia adalah masa untuk mendalami diri sendiri dan membina pengalaman hidup.
“Oleh itu, agak memalukan apabila responden berstatus bujang, khususnya lelaki akui rasa tertekan untuk mencari pasangan hidup dan membina keluarga.
“Penting untuk merujuk status ‘bujang’ sebagai pilihan gaya hidup yang mana akan berubah pada bila-bila masa dan elak menghakimi seseorang yang berstatus itu.”