
Sekumpulan jururawat di Arab Saudi berjenaka sambil memenyekkan muka seorang bayi baru lahir yang sedang dirawat kerana dijangkiti kuman.Perbuatan tidak senonoh itu juga dirakam dan dikongsi sesama mereka sehingga viral di media sosial.
Ibu bapa bayi yang berang dengan insiden tersebut melaporkan perkara itu kepada pihak hospital dan 3 jururawat dari hospital bersalin di Taif, Arab Saudi yang dikenal pasti terlibat diambil tindakan, dipecat serta-merta.
Dalam video itu, seorang jururawat dilihat memegang bayi itu pada tengkuk dan lehernya sebelum memicit muka bayi berkenaan manakala rakannya ketawa, lapor Daily Mail.
Jurucakap Hal Ehwal Kesihatan Taif, Abdulhadi Al-Rabie pula berkata, pihaknya menyiasat sumber video dan mengenal pasti jururawat serta hospital di mana perkara itu berlaku.
Bapa bayi berkenaan memberitahu media tempatan, anaknya dimasukkan ke hospital selama 10 hari untuk rawatan jangkitan kuman pada saluran kencing.
Katanya, dia terkejut melihat video itu yang dikongsikan secara meluas di media sosial.
Pengguna media sosial turut menyelar perbuatan yang langsung tidak menjaga sensitiviti dan emosi ibu bapa tersebut.