
Kelahiran anak ke-2 pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang mewarnai laporan akhbar dan berita pagi ini.Selepas anak pertama pada 2015, bayi panda ke-2 seberat 150g yang lahir 14 Januari lalu masih belum ditentukan jantinanya kerana ibunya masih melindungi anaknya yang sedang dalam fasa menyusu.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia negara pertama di dunia berjaya melahirkan anak panda gergasi secara semula jadi dalam tempoh 2 tahun selepas kelahiran pertama.
Malaysia menerima pasangan panda ini pada 21 Mei 2014 daripada kerajaan China sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Sebenarnya panda ialah haiwan comel, manja dan jauh lebih malas dan perlahan pergerakannya berbanding beruang namun bukan mudah mengendalikan karenahnya. Selain itu, panda juga menjadi antara haiwan yang memerlukan kos penjagaan tinggi apabila dipelihara di luar habitat asalnya.
Misalnya, bagi makanan sahaja, seekor panda perlu dibekalkan sekitar 12.5kg buluh setiap hari.
FMT Ohsem ingin berkongsi info menarik mengenai sifat dan ciri-ciri fizikal panda yang baru lahir dan sifat sosial dan fizikal uniknya yang menjadi haiwan istimewa hubungan Malaysia-China.
Fasa bayi panda
- Tempoh kehamilan panda ialah sekitar 95 hingga 165 hari dan lazimnya beranak sehingga 2 anak, kalau di lokasi liar, kemungkinan hidup untuk bayi tersebut sangatlah kecil.
- Bayi panda lahir dengan mata tertutup, sehinggalah pada minggu ke-6 hingga 8 barulah mata panda akan terbuka.
- Bayi panda selalu bergantung pada ibunya.
- Ukuran saiz panda ketika lahir hanya sebesar tikus namun pada tahap pertumbuhan, bayi panda akan cepat membesar lebih-lebih lagi selepas mencapai bulan ke-5.
- Bayi panda akan mempelajari perilaku ibunya, berjalan, memanjat pohon atau memakan buluh dan selepas usianya mencapai 2 tahun ia akan meninggalkan ibunya untuk memulakan hidup sendiri.
Trivia panda
- Jangka hidup panda adalah sekitar 20 tahun dan boleh mencapai pertengahan 30an jika dijaga sebaiknya.
- Panda ialah simbol perdamaian China, ratusan tahun lalu sewaktu suku-suku di China berperang, mereka akan menaikkan bendera dengan gambar panda untuk menghentikan peperangan.
- Panda sudah hidup di bumi selama 2 hingga 3 juta tahun lamanya dan nama saintifik haiwan ini ialah Ailuropoda melanoleuca.
- Meskipun bulu panda gergasi ini kelihatan halus dan lembut, tetapi ia sebenarnya tebal dan liat. Rambut panda gergasi dewasa boleh tumbuh sehingga 10 cm panjang.
- Nama “panda” mungkin dikembangkan daripada perkataan bahasa Nepal iatu “Poonya”, yang membawa maksud “haiwan pemakan buluh” atau “haiwan pemakan tumbuhan”.
- Panda digambarkan sebagai haiwan ”pemalas” kerana 2/3 daripada hidupnya dihabiskan dengan tidur.
- Panda merupakan haiwan paling mahal untuk dipelihara, sekurang-kurangnya 5 kali lebih kos daripada memelihara gajah.
- Panda memiliki deria bau sangat tajam, ia dapat mencari batang buluh walaupun pada waktu malam hanya dengan berdasarkan pada deria bau.