
Syarikat penerbangan bajet Vietnam, Vietjet memohon maaf secara terbuka selepas menggunakan model seksi menyambut kepulangan skuad bola sepak bawah 23 negaranya dari China.Tindakan itu disifatkan sebagai pendekatan “murah” oleh rakyat Vietnam dan netizen seluruh dunia.
Syarikat penerbangan itu menggunakan model berbikini berhias untuk menyertai kepulangan pasukan bola sepak yang pulang dari China selepas kalah menentang Uzbekistan dalam Kejohanan Bola Sepak Persekutuan Konfederasi Asia (AFC) bawah 23 tahun.
Media sosial mahupun beberapa portal dalam talian berkongsi gambar aksi dalam pesawat, termasuk foto seorang pemuda dipeluk rapat seorang model yang hanya bercoli dan seluar dalam merah.

Vietjet pada awalnya menyifatkan persembahan tersebut disusun khas untuk menyambut pemain pasukan bola sepak yang disamakan sebagai “wira negara”.
Bagaimanapun tindakan itu dikecam teruk oleh netizen yang menggambarkan ia sebagai aksi yang mencemarkan maruah dan penghormatan pemain negara tersebut.
Pengasasnya dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nguyen Thi Phuong Thao yang menjadi wanita billionaire Vietnam pertama pada 2016, juga mengeluarkan kenyataan maaf dalam Facebook miliknya.
Model dan DJ Lai Thanh Huong juga menyampaikan rasa kesal selepas mengambil bahagian dalam persembahan itu, turut mendakwa dia berbuat demikian selepas menerima arahan Vietjet.
“Perbuatan Vietjet sangat tidak sopan, murah dan menyinggung perasaan pasukan, peminat dan juga penumpangnya,” kata pengguna Facebook, Nguyen My Linh dalam catatan yang menerima 1,700 ”like” dan lebih 100 perkongsian.

Perbuatan syarikat itu yang sekali lagi menggunakan pendekatan sama apabila menyambut kepulangan pemain bola sepak muda negara apatah lagi selepas mereka tewas, tidak diterima baik.
Ramai dalam kalangan netizen mengancam untuk memboikot syarikat penerbangan itu selepas melihat gambar yang diviralkan.
“Anda mahu menamakan semula syarikat penerbangan Vietjet kepada ‘Vietjerk’, atau ‘Vietsex’?” tanya seorang pengguna Facebook.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam (CAAV) sudah pun mengeluarkan perintah saman bernilai 40 juta dong (AS$1,761) ke atas tindakan mereka. Malah ketua krew turut disaman 4 juta dong (AS$176).