

Kalau anda penggemar fesyen dan belum menonton filem Black Panther, mungkin ini masanya untuk segera berbuat demikian.
Ini kerana fesyen dan Black Panther dikatakan saling berkait rapat apatah lagi apabila setiap helaian pakaian yang ditampilkan di atas skrin layar itu menampilkan imej segar dan bersesuaian dengan citarasa fesyen.
Filem Marvel lakonan Chadwick Boseman, Michael B Jordan dan Lupita Nyong’o mula mendapat perhatian dunia khususnya penggiat fesyen selepas keunikan elemen budaya Afika yang ditampilkan pada rekaan pakaiannya.
Mempamerkan bandar Wakanda yang sangat maju, pereka pakaian bagi filem Black Panther, Ruth E Carter memastikan pakaian, rambut dan solekan pelakon ditampilkan dengan penampilan ikonik yang unik.
Ia memberi inspirasi kepada penonton terhadap rekaan pakaiannya yang sangat teliti dan menarik.
Daripada watak puteri Shuri kepada pakaian seragam tentera Dora Milage, Ruth E Carter ternyata mengambil fesyen Afrika ke tahap berbeza dalam Black Panther.

Dalam satu wawancara dengan majalah Vogue, Carter berkata dia memilih satu suku asli dan mengubahsuai fesyen itu dalam model futuristik.
“Oleh kerana budaya Ryan Coogler adalah unik, saya berpeluang menggabungkan unsur-unsur suku Afrika yang pelbagai termasuk penggunaan warna, reka bentuk, aksesori dan pembahagian budaya mereka,” katanya.
Misalnya hiasan kepala Queen Ramonda (Angela Bassett) yang diinspirasi daripada hiasan komuniti Zulu disebut ‘Izicolo’ yang biasanya dipakai oleh wanita yang sudah berkahwin.
Selain itu, pakaian tradisi yang dikenakan watak utama, raja Wakanda iaitu T’Challa juga menarik perhatian penonton yang menganggap ia bukan sahaja menawan malah praktikal untuk kegunaan.

Baju dengan rekaan seperti kurta diserasikan dengan sulaman minimal pada bahagian leher dan tengah baju pastinya sudah menjadi idea fesyen untuk diperagakan menjelang perayaan akan datang.
Jadi jangan terkejutlah kalau ada baju kurta atau baju Melayu koleksi Black Panther di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur atau oleh rangkaian kedai pakaian terbesar negara kelak.
Selain filem itu sendiri yang dipercayai mencapai kutipan blockbuster, fesyen pakaiannya juga disebut menjadi inspirasi untuk fesyen.