
Pernahkah anda merasa tersisih atau dipinggirkan semata-mata kerana kekurangan dari segi ekonomi? Apatah lagi apabila ia mengaitkan majlis besar keluarga sendiri seperti perkahwinan.
Mengambil kira sentimen sama, sebuah syarikat di Chiang Mai tampil dengan idea menyewa “kemewahan” kepada keluarga pasangan sebagai cara menjaga maruah dan air muka keluarga di hadapan tetamu.
Romantiese menyewa produk mas kahwin ata “dowri” yang dikenali sebagai ”sin sod”, ditujukan kepada ibu bapa pengantin perempuan untuk mengiktiraf kejayaan mereka membesarkan anak dengan baik untuk memulakan sebuah kehidupan berkeluarga.
Menurut laporan tempatan, Romantiese menawarkan wang tunai dan emas untuk dipamerkan ketika majlis perkahwinan mereka.
Ia merangkumi wang tunai bernilai sehingga THB10 juta (RM1.2 juta), emas seberat sehingga 100 baht (1 baht bersamaan 15 gram) dan kereta Mercedes kepada pasangan yang mampu membayarnya.
Idea tersebut datang dari pasangan Tawan Supanontakorn, 31, dan isterinya Kangkai, 28, yang mengakui ilham dari pengalaman perkahwinan mereka sendiri.
“Kami berkahwin sejak 5 tahun lalu, mengimpikan mempamerkan emas dan wang tunai untuk menghormati keluarga, tetapi tidak mampu. Jadi kami berharap perniagaan ini akan membantu semua pengantin mengukir memori indah pada hari perkahwinan mereka,” kata mereka.
Setakat ini, Romantiese berjaya menawarkan khidmat itu kepada lebih 10 pasangan, dengan jumlah tertinggi tunai yang disewa sebanyak THB1 juta (RM1.2 juta).
Menurut pasangan itu lagi, wang dan emas yang disewakan bukan bertujuan untuk digunakan sebaliknya sekadar hiasan.
Untuk itu, pasangan harus menandatangani kontrak persetujuan terlebih dahulu supaya tidak menyentuh barang-barang yang disewa sebaliknya akan hanya dikendalikan oleh kakitangan Romantiese.