7 perkara perlu ingat sebelum undi esok

Sedangkan kata laluan di laman web yang digunakan 3 bulan lalu pun boleh lupa, apatah lagi pula pilihanraya yang diadakan 5 tahun sekali.

Pasti ada yang masih tidak faham atau ragu-ragu dengan proses dan prosedur pilihan raya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali mengundi.

Anda mungkin sudah dibekalkan dengan pelbagai maklumat tetapi anggaplah ini sebagai perkongsian dan amaran terakhir sebelum mengundi esok.

FMT Ohsem menyenarai beberapa maklumat penting yang seharusnya diambil kira sepanjang proses membuang undi esok.

1. Boleh: Anda boleh berpakaian mengikut keselesaan, termasuk memakai selipar tetapi ingat, lebih selamat berpakaian sopan dan berhemah. Ia bukan sebahagian daripada peraturan tetapi ini mencerminkan moral anda.

Tidak boleh: Anda tidak boleh membawa aksesori, barangan seperti payung, kain rentang, botol air dan pakaian yang mempunyai logo parti, nama calon atau bendera parti. Kalau buat juga, bersedialah bayar denda atau diheret ke penjara.

2. Boleh: Kalau sudah mengundi, anda memang dibenarkan menunggu rakan atau ahli keluarga lain yang masih menunggu giliran untuk mengundi. Anda juga boleh saling menegur jika terserempak rakan lama, tetapi pastikan semuanya dilakukan dalam jarak 50m daripada stesen mengundi.

Tidak boleh: Anda tidak dibenarkan bercakap mengenai parti politik, mempengaruhi sesiapa dengan mesej berbaur politik. Kalau buat juga, pilih antara didenda atau dipenjara ataupun kedua-duanya sekali.

3. Boleh: Anda sememangnya harus membawa kad pengenalan kalau mahu mengundi. Kad pengenalan digunakan sebagai identiti untuk seseorang pengundi.

Tidak boleh: Tiada alasan terlupa atau tertinggal atau mahu gunakan lesen memandu atau kad insurans dan sebagainya sebagai menggantikan kad pengenalan. Memang tak jadi mengundilah kalau macam itu.

4. Boleh: Anda boleh bawa makanan ringan seperti biskut atau minuman, seperti botol air ke tempat mengundi. Tak salah sebab memang sekarang ini musim panas, anda mungkin perlukan air apatah lagi kalau kena beratur panjang untuk mengundi.

Tidak boleh: Bagaimanapun, jangan sesekali menerima makanan atau minuman yang ditawarkan oleh orang lain kerana ia boleh diterjemah sebagai ”rasuah” atau berunsur korupsi dan anda boleh didenda serta dihalang daripada mengundi untuk tempoh masa tertentu.

5. Boleh: Anda boleh menandakan pangkah “X” dan tanda lain yang dibenarkan selagi ia ditandai dalam kotak calon parti yang dipilih. Walaupun anda suka 2 daripada 4 calon yang dipaparkan dalam borang itu (contoh), anda hanya boleh menanda seorang calon sahaja.

Tidak boleh: Selain di kotak pangkah, anda juga dilarang menanda undi di tempat lain. Selain itu, sebarang contengan atau coretan tidak dibenarkan. Jika buat juga, andalah pengundi rosak itu!

6. Boleh: Anda boleh meminta untuk menukar kertas undi yang lain jika kertas undi diberikan terkoyak, kotor, tidak jelas atau tertulis apa-apa yang tidak berkenaan. Pastikan borang yang ditawarkan disetem dan mempunyai nombor siri yang jelas. Kertas undi yang ditolak itu juga pastikan dipangkah oleh pihak pegawai SPR menggunakan pen supaya tidak boleh digunakan semula.

Tidak boleh: Kalau kertas undi anda ada masalah, anda tidak dibenarkan buat kecoh, bising, menjerit, menyerang atau merusuh. Jangan pula terbawa pulang kertas undi itu konon nak buat kenangan, itu dah kira tak mengundilah!

7. Boleh: Akhir sekali, individu yang sudah mengundi boleh memberi pandangan mereka dan layak bercakap mengenai status negara atu politik secara berhemah (bukan hasut atau keji).

Tidak boleh: Kalau anda memilih untuk tidak mengundi dan tidak mendaftar (kecuali sudah mendaftar tetapi tidak diluluskan) dan bercadang untuk buang undi rosak, lebih baik jangan bercakap pasal politik negara. Anda hilang kelayakan!