
Jika anda seorang yang kerap bermeditasi, membuat senaman nyah-tekanan, banyak berzikir, mengamalkan latihan pernafasan, anda mungkin tidak terkejut dengan berita remaja lelaki sesat dalam gua di Thailand lebih 10 hari berjaya menenangkan diri dengan amalan meditasi.
Ini kerana meditasi terbukti secara saintifik memberi pelbagai manfaat termasuk mengawet tenaga, mengawal penggunaan oksigen dan mendamaikan diri.
Memandangkan pelatih bola sepak yang membawa kumpulan remaja berkenaan bekas sami, dia menggunakan ilmu meditasi untuk mengawal keadaan genting sekaligus memanipulasi persekitaran terhad itu.
Kita akur dengan gaya hidup yang penuh mencabar dan tabiat tergesa-gesa yang menyumbang kepada pelbagai tekanan.
Selain meditasi terdapat pelbagai cara lain untuk mengawal tekanan, ketidak-puasan dan kekal fokus.
FMT Ohsem menyenarai beberapa tips mudah untuk mereka yang berdepan pelbagai cabaran kerja dan isu harian tampil tenang serta kembali jelas dengan rutin mereka.
1. Tarik nafas sedalam-dalamnya
Luang 5 minit dan fokus pada pernafasan anda. Duduk dalam postur yang betul, dengan menempatkan tangan di atas perut. Tarik nafas secara perlahan-lahan menerusi hidung dan rasai oksigen memenuhi ruang abdomen anda. Buat perkara yang sama apabila menghembus nafas. Pakar psikologi, Judith Tutin berkata, nafas mendalam melambatkan kadar dengupan jantung dan mengurangkan tekanan darah sekaligus memberi rasa ketenangan.
2. Hargai detik semasa
Apabila tertekan, cuba berehat dan awasi persekitaran anda untuk 5 minit. Beri perhatian kepada diri sendiri dan sedar dengan persekitaran anda. Rasai angin yang baru sahaja melepasi wajah anda atau rasai permukaan lantai setiap kali anda memijak. Rehatkan mata dengan melihat pokok bunga di atas meja anda. Semua ini akan memberi ketenangan dan kepada diri anda sekali gus membaiki mood anda.
3. Rawat dan rehat
Tempatkan tuala panas di sekitar leher anda untuk 10 minit. Tutup mata dan relaks. Rehatkan otot muka, leher, dada dan bahagian otot belakang bahu. Jika anda mempunyai roda pengurut, urut sekitar bahagian bahu anda untuk menyingkir rasa sakit yang memberi tekanan kepada anda. Anda juga boleh menggunakan bola bersaiz bola tenis di antara dinding dan bahu belakang untuk mengurut.
4. Ketawa sekuatnya, sepuasnya
Tahukah anda mengenai terapi ketawa? Ia salah satu kaedah menghindari diri daripada tekanan. Terapi ini semakin popular di barat. Ketawa yang puas dibuktikan mampu mengurangkan kadar kortisol iaitu sejenis hormon tekanan dan mengaktifkan endorfin, sejenis kimia otak yang membantu menawarkan mood positif. Jadi banyak menonton sitkom komedi atau baca lawak jenaka yang menghiburkan dan luah ekspresi anda dengan ketawa.
5. Menghargai diri
Simpan rekod atau data mengenai perkara yang membuatkan anda rasa dihargai. Ataupun hubungi rakan sokongan yang akan menghargai hubungan anda. Perkara-perkara yang membawa anda kepada mood positif, dihargai dan kisah-kisah kejayaan walaupun seremeh memberi makan kepada kucing akan memberi perasaan yang menyeronokkan. Rasa dihargai itu adalah satu restu yang menyingkir gelombang negatif, kata perunding kesejahteraan dari Universiti Maryland, Kesihatan Intergratif, Joni Emmerling.