
Apabila era Kerajaan Mughal di Asia Selatan berakhir pada sekitar kurun ke-19, ia turut memberi tamparan hebat kepada seni dan kebudayaan Islam yang ketika itu sedang berkembang pesat.
Kaligrafi atau seni khat yang sebelum itu mendapat sokongan kuat pemerintah secara beransur-ansur menjadi malap.
Para pemerintah Mughal menggaji jurukhat untuk menghasilkan seni tulisan itu bagi bidang kesusasteraan, kraf dan seni bina.
Semasa tempoh pasca kemerdekaan India, kumpulan jurukhat yang semakin kecil bilangannya masih mampu meneruskan bidang kemahiran mereka dalam industri persuratkhabaran Urdu.
Mereka menulis tajuk berita dalam tulisan yang indah tetapi hasil kerja mereka tidak mendapatkan apa-apa kepada mereka sama ada pengiktirafan mahupun imbuhan kewangan memandangkan akhbar Urdu menghadapi kesulitan kewangan dan jumlah pembaca juga berkurangan.
Prospek untuk jurukhat semakin terjejas apabila perkembangan teknologi menguasai industri suratkhabar. Semua yang diperlukan untuk menjadikan reka bentuk surat khabar lebih menarik begitu mudah dengan penggunaan komputer.
Hari ini hanya sedikit bilangan jurukhat yang masih wujud di India. Hasil usaha kerja mereka bagaimanapun masih kekal diperlukan dan kebanyakannya berjaya menghasilkan seni khat yang bermutu tinggi.
Banyak hasil seni khat Islam yang dibuat pada masa era pemerintahan kerajaan Mughal disimpan di muzium dan perpustakaan di seluruh India.
Baru-baru ini beberapa hasil tulisan khat dipamerkan di Pameran Quran di Delhi selama 2 minggu. Program ini anjuran bersama Perpustakaan Dr Zakir Hussain, Universiti Jamia Millia Islamia dan Pusat Antarabangsa Noor Microfilm, Iran.
Hasil khat yang dipamerkan termasuk senaskah Al Quran bertulis tangan berusia 400 tahun, berukuran 8×8 cm, serta pelbagai hasil lain yang berusia berkurun lamanya.
Perpustakaan Jamia mempunyai bahagian khusus untuk manuskrip dan orang ramai berpeluang melihat sendiri sebanyak 36 manuskrip yang tidak ternilai harganya.
“Kami memilih hasil khat berdasarkan gaya kaligrafi, skrip dan iluminasi, “ kata pembantu arkivis perpustakaan, Umaima Farooqui kepada Bernama.
Bercakap mengenai keadaan kaligrafi di India, Umaima berkata: “Kaligrafi semakin terabai, kekurangan dana dan peluang pekerjaan.”
Shamim Ahmed Bijnori, 40, menghadapi kesulitan sedemikian setelah berkecimpung selama 2 dekad dalam bidang seni khat.
Sambil tangannya menghasilkan cenderahati untuk pengunjung pameran, Shamim memberitahu penulis beliau mendapat latihan seni khat daripada ayahnya.
“Saya seronok dengan kerja saya meskipun ia tidak mendatangkan pulangan yang besar, “ katanya.
Dedikasi Shamim dalam bidang seni khat membuatkan beliau berjaya menghasilkan senaskah Al Quran bertulis tangan di atas kulit kambing dengan corak yang begitu indah sekali.
Jurukhat bukan sahaja membuat hasil kerja baru tetapi juga membantu mengekalkan manuskrip yang rosak.
Salah satu daripada projek berkenaan yang dibiayai Iran melibatkan kerja memulihkan bahagian manuskrip Quran berusia 250 tahun milik Masjid Jama di Baroda terletak di negeri Gujarat.
Ditulis di atas kertas buatan tangan, beberapa halaman Quran setebal 30 jilid ini rosak akibat air hujan yang meresap masuk ke dalam bilik di mana ia disimpan.
Keadaan ini berlaku apabila tidak ada kemahiran untuk menyimpan barang-barang bersejarah.
Mahdieh Khajehpiri, penolong pengarah Pusat Antarabangsa Noor Microfilm di New Delhi berkata kaligrafi tidak lagi dilihat penting selepas kejatuhan empayar Mughal.
“Semakin kurang pembacaan dalam bahasa Arab, Urdu dan Parsi. Anda perlu tahu bahasa ini untuk kaligrafi tetapi sekolah tidak mengajar bahasa ini, “ Mahdieh memberitahu Bernama.
“Kami berharap pameran ini akan dapat membantu mempromosikan kaligrafi sebagai satu bidang seni dan semakin ramai orang tahu akan seni ini.
“Sokongan kerajaan diperlukan untuk mempromosikan seni kaligrafi tetapi sumber dana perlu dicari sekiranya kerajaan tidak dapat membantu, “ katanya.
Pertubuhan Mahdieh bekerja rapat dengan perpustakaan dan muzium dalam bidang digitasi, pemuliharaan dan menkatalogkan manuskrip Islam itu.
Dalam usaha mengekalkan warisan seni khat ini, semua bentuk bantuan dialu-alukan walaupun setakat membuat pelaminaan, membersihkan habuk dan pengurusan suhu.