
Setelah gagal menerima respon daripada lebih 100 permohonan kerja, seorang pemuda akhirnya mengubah pendekatan dengan “menjual kemahiran akademiknya” di sebuah stesen keretapi.
Pemuda itu, Kamran Hussain, 21, dari Walthamstow bertindak menunggu di stesen keretapi selama 4 jam untuk menyerahkan resume dengan sendirinya kepada mereka yang berminat untuk mengambilnya bekerja.
Kamran merupakan graduan bidang perakaunan dan kewangan yang kesal selepas lebih 100 permohonan kerja tidak dibalas.
Walaupun tertekan, Kamran menggunakan pendekatan kreatif dengan harapan supaya usaha tersebut akan mendapat perhatian dan membuahkan hasil.
Justeru, pada hari Selasa lalu, dia bangun seawal 5.30 pagi dan mencetak lebih 35 salinan resume untuk diedarkan kepada para penumpang dan pengguna keretapi.
Kamran menunggu di stesen keretapi Liverpool Street dan Cannon Street di London, masing-masing 2 jam sambil memegang sehelai kertas tertulis, “sedang mencari pekerjaan sebagai Akauntan, sila minta resume”.
“Saya berdiri di satu sudut di mana adanya pergerakan orang ramai supaya kehadiran saya disedari. Selepas 4 jam hampir semua resume saya berjaya diedar,” katanya kepada Daily Mail sambil memegang 4 salinan resume yang berbaki.
Menariknya, Kamran dipanggil untuk ditemuduga pada keesokan hari dan bakal memulakan kerjaya sebagai eksekutif transaksi untuk sebuah firma pemasaran pada Rabu ini.
“Usaha saya tidak sia-sia. Ia mengajar saya banyak perkara mengenai kehidupan. Kini saya sudah memiliki satu pekerjaan yang ditunggu-tunggu selama ini,” katanya.
Kamran yang amat bersyukur usahanya berhasil berkata dan percaya jika kita mahu mencari kerja, maka kita kena menyerahkan sendiri resume itu kepada mereka yang betul-betul berminat untuk merekrut kita.
Kamran juga tidak menolak dunia pada hari ini memerlukan kita melakukan sesuatu yang baru dan menonjol, berfikir di luar kotak memandangkan persekitaran masa kini penuh dengan persaingan.
Jadi, Kamran menasihati mana-mana individu yang sudah tamat pengajian atau sedang mencari kerja supaya mencuba menggunakan pendekatan yang lebih inovatif supaya dapat menarik perhatian orang sekaligus menunjukkan kesungguhan anda.
“Cuba sesuatu yang inovatif,” katanya.