Dana pendidikan apa, tanya keluarga kru MH370

Dana pendidikan apa, tanya keluarga kru MH370

Waris kepada kru MH370 berkata mereka belum menerima sebarang bantuan pendidikan anak meskipun ada yayasan ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

Nur-Laila-Ngah
PETALING JAYA: Waris kepada anak kapal pesawat malang Malaysia Airlines MH370 tidak dimaklumkan atau mendengar apa-apa maklumat mengenai dana pendidikan yang kononnya ditubuhkan untuk membantu mereka, lapor New Straits Times (NST) hari ini.

Mereka berkata demikian sebagai respons terhadap laporan Forbes baru-baru ini yang memaparkan mengenai Flagbearer Education Foundation yang ditubuhkan pada 2014, bertujuan menyediakan dana pendidikan untuk anak kepada kru MH370 dan MH17 hingga peringkat pendidikan tinggi.

Yayasan itu diterajui oleh Anne Eu, yang juga pengerusi Perubatan Tradisional Cina (TCM) syarikat Eu Yan Sang. Turut mengambil bahagian dalam kerjasama itu ialah Genting Group, dengan kedua-dua organisasi itu dilaporkan masing-masing berjanji memberi RM500,000 bagi tujuan itu.

Forbes minggu lalu meraikan Anne dalam senarai “Heroes of Philantrophy Asia 2016” untuk kerja kebajikan yang dilakukannya, termasuk menubuhkan Flagbearer Education Foundation.

Dua tahun berlalu, keluarga kepada anak kapal MH370 masih tidak tahu mengenai yayasan itu, apatah lagi mana-mana bantuan yang sepatutnya diperuntukkan kepada mereka.

Akhbar itu menemu bual Nur Laila Ngah, isteri ketua pramugara MH370 Wan Swaid Wan Ismail, yang berkata beliau masih belum menerima apa juga bentuk bantuan untuk tiga anaknya berusia antara 10 dan 14 tahun.

“Setahu saya, tidak ada sokongan daripada sesiapa.

“Ketika berita kehilangan pesawat itu masih baru, ada juga dengar beberapa yayasan mahu membantu anak kami, tetapi tidak ada yang datang menemui kami,” katanya dipetik sebagai berkata kepada NST.

Syafinaz Hassan, kakak kepada seorang anak kapal MH370 menyokong kenyataan Nur laila dan berkata tidak ada mana-mana pihak tampil membantu anak saudaranya yang berusia tujuh tahun, meskipun pelbagai janji ditabur sebelum ini.

NST turut memetik Jacquita Gonzales, isteri Patrick Gomes, penyelia penerbangan MH370, sebagai berkata tidak ada sokongan pendidikan yang diberikan kepada anak lelakinya berusia 17 tahun.

Akhbar itu belum berjaya mendapatkan komen waris anak kapal MH17 berhubung perkara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.