
Apabila anda memulakan hari dengan segelas kopi, sama ada kopi susu atau kopi hitam dengan aroma yang segar, pasti ia akan mencetuskan pagi yang indah.Bagi yang meminati kopi lebih daripada apa sahaja, ia umpama vitamin yang paling mujarab untuk memulakan hari dengan penuh bertenaga. Walaupun ini mungkin kelihatan seperti sengaja ingin memperbesarkan rahmat biji-biji buah beri yang dipanggil kopi, ia sebenarnya tidak.
Kalau tidak percaya, tanya penggemar kopi seluruh dunia. Kopi umpama segalanya bagi mereka.
Beberapa bahan bacaan dalam laman-laman web oleh FMT Ohsem menunjukkan minuman ini semakin digemari lebih-lebih lagi sebagai minuman orang muda, seawal usia belasan tahun.
Satu data mengenai penggemar kopi di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan mereka yang lahir selepas tahun 1995 mula mengambil kopi pada usia seawal 14.7 tahun berbanding pada tahun 1982 dimana rata-rata mereka mula meminum kopi pada usia 17.1 tahun.
Memetik laman web Consumers Affairs, peningkatan permintaan terhadap biji kopi sekali gus menyebabkan penawaran bekalan bahan mentah yang diimport dari Brazil semakin mahal.
“Permintaan semakin memuncak, mengatasi jangkaan dan oleh itu pasaran kopi agak terhad dari segi bekalan,” kata penganalisis komoditi dan pengurus portfolio Harish Sundaresh, petik Bloomberg.
William Tuesca, 21 tahun pula menjelaskan kopi kini bukan sekadar minuman berkafein seperti mana fungsinya dalam pengertian konservatif tetapi lebih daripada itu.
Pelajar dari sekolah fesyen dan rekaan Parsons di New York itu akui aktiviti meminum kopi menjadi satu kelakuan yang diterjemah sebagai simbol fesyen dan peluang untuk bersosial.
“Jika harga minuman ini meningkat, saya lebih rela tidak mengambil minuman coklat tetapi bukan kopi.
“Ini kerana coklat adalah seperti kekasih, memberikan anda momen indah tapi kopi adalah seperti isteri atau teman wanita yang anda mahu berdampingan setiap masa,” katanya.
Begitu tingginya darjat kopi dibandingkan dengan minuman lain, lebih-lebih lagi apabila kopi dimanisfestasi dalam pelbagai nama lain seperti latte, cappucino, mocca selain pelbagai jenama mewah.
Berikut disenaraikan hubungan antara secawan kopi dan produktiviti. Kini anda mempunyai lebih banyak alasan untuk minum kopi!
1. Ia membantu anda lebih sedar
Kafein dalam kopi tidak mengejutkan anda sebaliknya menghalang sebatian dalam otak dikenali edonosina yang menyebabkan rasa mengantuk. Kafein juga meningkatkan tahap tenaga otak di mana dengan lebih banyak tenaga ia mempertingkatkan memori, keupayaan memberi tumpuan dan menyelesaikan masalah serta fungsi kognitif yang umum.
Apa lagi, jika anda perlu menumpukan perhatian pada projek penting di tempat kerja, dapatkan secawan kopi dan lakukan kerja anda sambil menghirupnya.
2. Ia membolehkan anda bertindak lebih kreatif
Ada yang berkata kejutan daripada kopi menghalang seseorang daripada berimaginasi, oleh itu tidak dapat berfikir secara kreatif. Namun, kajian Massachusetts Institute of Technology Coffee and Tea menyatakan kopi boleh membantu seseorang menjadi lebih kreatif secara individu dan dalam persekitaran kumpulan. Kopi merangsang otak sekali gus membolehkan kita berfikir secara inovatif atau memperoleh inspirasi.
3. Memudahkan anda mempelajari perkara baru dengan lebih cepat
Percaya atau tidak, secawan kopi boleh membantu anda belajar sesuatu dengan lebih pantas dan mudah. Itu antara sebabnya mengapa sesetengah kawasan kolej, universiti, perpustakaan dan tempat didik memiliki kafe kopi (luar negara). Kopi mendorong otak bekerja lebih masa dan membantu belajar dengan lebih cepat dan meningkatkan pengekalan maklumat. Apabila anda bekerja dalam suasana di mana perkara yang terlibat sentiasa berubah, anda tidak boleh berhenti belajar, jadi dapatkan secawan kopi.
Laporan jurnal PLoS One (Public Library of Science) mendedahkan 200 miligram kafein membolehkan otak mengenal pasti perkataan dan frasa dengan lebih cepat. Sama ada belajar untuk peperiksaan atau cuba untuk menguasai sesuatu perkara baharu, kopi boleh membuat masa pembelajaran lebih produktif.
Sudah tentu, setiap hidangan makanan dan minuman, termasuk kopi ada had pengambilannya. Jika anda melebihi 5 cawan sehari atau sekitar 500-600 miligram kafein, badan anda mula merasa lebihan kafein.
Menurut Mayo Clinic, kesan sampingan pengambilan terlalu banyak kopi ialah cepat marah, sakit perut, denyutan jantung yang laju, gegaran otot dan kegelisahan. Sesetengah orang yang sensitif kafein akan merasa kesan tersebut dalam dos kafein yang lebih kecil.
Jika anda peminat kopi, berpada-padalah, jangan melebihi had yang dibenarkan badan anda. Ingat, kopi juga sejenis ketagihan.
Jom minum kopi!