Tak elok biarkan kanak-kanak terlalu lama di rumah kebajikan

Tak elok biarkan kanak-kanak terlalu lama di rumah kebajikan

Datin Paduka Chew Mei Fun berkata kanak-kanak perlukan suasana berkeluarga untuk membesar dengan sempurna, jadi rumah keluarga angkat ialah tempat terbaik bagi mereka.

mei-fun
KUALA LUMPUR:
Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata kanak-kanak yang berada terlalu lama di rumah perlindungan anak yatim akan menjejaskan didikan sepanjang tumbesarannya.

Datin Paduka Chew Mei Fun berkata suasana berkeluarga di rumah keluarga angkat membolehkan kemahiran hidup dan sosial kanak-kanak berkembang, selain memberi peluang kepada mereka mengembangkan identiti sendiri serta merasa kasih sayang ibu bapa.

“Membiarkan kanak-kanak di institusi dan rumah perlindungan untuk jangka panjang mungkin melahirkan pemimpin masa depan yang tiada kualiti kepimpinan atau rasa berdikari sebaik saja mereka berumur 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan “Malaysia Adoption Day 2016” yang dianjurkan Yayasan OrphanCare.

Bagaimanapun, katanya ia bukan kerana institusi rumah perlindungan ini gagal menjalankan tanggungjawab mereka menjaga kanak-kanak berkenaan.

Katanya, ia hanya kerana persekitaran di mana kanak-kanak itu membesar.

“Anda kena faham di institusi ini, mereka yang menjaga kanak-kanak ini bukan ibu bapa mereka, jadi tidak ada kasih sayang ibu bapa di situ.

“Kanak-kanak ini perlu rasa kasih sayang ibu bapa, rasa dimiliki dan selamat. Ini yang akan memperkasakan kanak-kanak,” katanya.

Chew berkata statistik bagi rumah kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Sosial pada Ogos 2016 menunjukkan 969 kanak-kanak berada di 12 rumah anak yatim kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan OrphanCare Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata salah satu cabaran terbesar ialah mencari mereka yang sanggup mengambil kanak-kanak berusia 2 hingga 16 tahun sebagai anak angkat.

Hadir sama di majlis itu ialah seorang suri rumah Halija Johan, 42, yang mengambil 4 anak angkat.

Beliau mengambil 2 anak angkat lelaki Muhammad Haziq dan Muhammad Hilmi ketika mereka masih bayi, dan 2 lagi anak perempuan – Nurul Huda dan Nurul Hajjar ketika mereka masing-masing berusia 10 dan 9 tahun.

Katanya, meskipun lebih mudah membesarkan anak angkat daripada peringkat bayi, tetapi sebenarnya kanak-kanak lebih berusia yang lebih memerlukan penjagaan.

“Ketika saya mendapat anak perempuan saya mereka ada masalah dengan hubungan fizikal, tidak boleh membaca dan tidak ada adab. Ia sangat mencabar,” katanya.

Malah, katanya jiran tetangga juga memandang serong terhadapnya.

“Ada masanya saya rasa putus asa dan mahu memulangkan anak perempuan ke rumah anak yatim. Tetapi suami saya ingatkan yang dalam memberi kasih sayang, tiada istilah putus asa. Saya bersyukur saya tidak memulangkan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.