
Menurut Khalid, beliau hanya akan berbuat demikian jika timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu meminta maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terlebih dahulu kerana kenyataan biadab di dalam Dewan Rakyat.
Khalid juga berkata, apa juga alasan Tajuddin, ia hanya memalukan dirinya sendiri dengan membuat kenyataan begitu kepada seorang ahli Parlimen wanita.
“Dalam surat tuntutan yang dihantar kepada saya, Tajuddin berkata saya menghina dan memfitnah beliau. Tetapi saya ingin memberitahu, beliau melakukan itu kepada dirinya sendiri dengan membuat kenyataan provokasi.
“Beliau fikir boleh mengatakan dan melakukan apa sahaja yang disukai tetapi apabila kita bertindak balas terhadap kata-kata beliau, beliau ingat kita yang bersalah.
“Saya hanya akan memohon maaf dan menarik balik kenyataan saya jika beliau melakukan perkara yang sama kepada Teresa dan (Ahli Parlimen Batu Kawan) Kasthuri Patto kerana tidak menghormati mereka,” kata ahli Parlimen Amanah itu pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Tajuddin menyebabkan kegemparan di Dewan Rakyat pada awal minggu ini kerana mengeluarkan kenyataan ahli Parlimen DAP “satu-satunya wanita dengan Kok”.
Ini menyebabkan Khalid melabel Tajuddin, ahli Parlimen Umno Pasir Salak sebagai “menteri sial”.
Perang mulut antara kedua-dua ahli Parlimen, yang bermula beberapa hari lalu, bertukar lebih buruk awal hari ini selepas sekumpulan 20 hingga 30 orang, yang mengaku sebagai ahli Umno Pasir Salak, menyerbu dan hampir menyerang Khalid.
Bagaimanapun, mujur anggota keselamatan di Parlimen berjaya melindungi Khalid.
Mengulas mengenai pengakuan Tajuddin yang anaknya turut sama dalam kumpulan itu, Khalid berkata tidak ada keperluan menghantar orang lain untuk mempertahankan diri.
“Jika anda mahu saya menarik balik kenyataan saya, anda perlu melakukan perkara yang sama.
“Jika anda memohon maaf kepada Teresa dan Kasthuri, ia akan memberi imej yang baik kepada anda. Jika tidak, ia mengesahkan apa yang saya katakan tentang anda sebagai menteri ‘sial’.”