Suspek bunuh Jong Nam pakai baju kalis peluru ke mahkamah

Suspek bunuh Jong Nam pakai baju kalis peluru ke mahkamah

Sudah pasti dia tidak mengaku bersalah kerana dia sedang menghadapi hukuman mati, kata peguam

Siti-Aisyah-dan-Thi-Huoang-Doan
SEPANG: Dua wanita yang dituduh membunuh abang sebapa pemimpim Korea Utara, Kim Jong Nam muncul di mahkamah dengan memakai baju karis peluru.

Reuters melaporkan, Siti Aisyah dan Thi Huoang Doan memberitahu diplomat yang melawat mereka dalam tahanan yang mereka dipergunakan dalam pembunuhan itu.

“Dia mengaku tidak bersalah,” kata Selvam Shanmugam, peguam kepada Thi Huong kepada Reuters.

“Sudah pasti dia tidak mengaku bersalah kerana dia sedang menghadapi hukuman mati,” kata Selvam lagi.

Wanita warga negara Indonesia dan Vietnam itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Kim Chol, nama yang diberikan pada pasport yang dikeluarkan kepada Jong Nam.

Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari, dan dijadualkan menaiki pesawat ke Macau pada jam 9 pagi Isnin.

Ketika di klia2, dia didatangi seorang wanita yang menyembur cecair ke arahnya, sementara seorang lagi wanita menyerkup mukanya dengan kain.

Mangsa cuba mendapatkan bantuan perubatan di kaunter perkhidmatan klia2 tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Siti Aisyah dan Thi Huoang dikenal pasti melalui rakaman CCTV lapangan terbang menunjukkan mereka menyerang Jong Nam dengan sejenis bahan yang dipercayai agen saraf VX yang diharamkan oleh PBB.

Pembunuhan ini juga mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara apabila Pyongyang menuduh Malaysia bekerjasama dengan Korea Selatan berkaitan pembuhunan ini.

Sementara itu di Jakarta, jurucakap Kementerian Luar Indonesia Armanatha Nasir berharap Siti Aisyah akan menerima perbicaraan yang adil.

“Kami berharap dia dibicarakan secara adil dengan diberikan hak undang-undang, bukannya dihakimi oleh orang ramai,” kata Nasir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.