
Lembaga Pengarah syarikat itu hari ini mengeluarkan arahan kepada Zakaria untuk melepaskan 2 jawatan dipegangnya, susulan siasatan tunggakan bayaran oleh sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.
Seorang ahli Lembaga Pengarah FGV dilaporkan menghantar dan membacakan kandungan surat itu kepada Zakaria pada mesyuarat pagi ini.
“Mesyuarat itu berlangsung selama 20 minit dan disaksikan Pengarah Bukan Eksekutif, Datuk Dr Omar Salim dan ketua keselamatan syarikat itu,” katanya kepada New Straits Times dan Berita Harian.
Zakaria berkata, beliau sedia mematuhi arahan itu.
“Selepas surat itu dibacakan, saya mengakui faham dengan kandungannya dan mengambil surat itu. Jika betul ikut proses, okey lah. Ini antara satu perkara yang akan saya hadapi.
“Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan sampai macam ini sekali sebab benda ini bukan besar sangat. Kalau dah begini, saya hadapi dengan tangan dan hati terbuka,” katanya kepada 2 akhbar itu.
Zakaria berkata, beliau belum bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang, tetapi “saya perlu mempertahankan diri.”
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada kakitangan lain yang bakal mengalami nasib sama dengannya.
Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha turut dilaporkan dipaksa bercuti serta-merta berhubung siasatan tunggakan bayaran Safitex.
Ahad lalu, Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Abdul Samad dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk membuat kenyataan berhubung status Zakaria dan sebarang keputusan perlu mengikut prosedur ditetapkan yang akan diputuskan Lembaga Pengarah.
Isa didakwa cuba menyingkirkan Zakaria pada mesyuarat Lembaga Pengarah Jumaat lalu.
Beliau bagaimanapun menafikannya dan berkata, banyak perkara lain dibincangkan dalam mesyuarat itu.