Polis selamatkan 11 pengemis paksa

Polis selamatkan 11 pengemis paksa

Semua mangsa dikerah mengemis lebih 10 jam sehari, dan tidak akan diberi makanan jika gagal mengutip derma RM100 sehari.

Gan-Tian-Kee-pengemis
IPOH: Polis Perak berjaya menyelamatkan 11 lelaki warga Thailand dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja paksa atau pengemis dalam serbuan Op Pintas/Pengemis di Jalan Gombak, Batu 10, Gombak, Selangor, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Gan Tian Kee berkata hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, kesemua mangsa berusia 16 hingga 44 tahun itu diselamatkan pasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak kira-kira 12.40 malam.

Beliau berkata polis berjaya menyelamatkan kesemua mangsa hasil soal siasat ke atas seorang lelaki warga Thailand berumur 36 tahun yang ditahan Selasa lepas.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Corolla yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand, 9 telefon bimbit serta pelbagai barangan yang digunakan untuk tujuan meminta sedekah dan mengemis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Gan berkata kesemua mangsa serta suspek dan barang rampasan dihantar ke Balai Polis Komuniti Prima Sri Gombak, Selangor untuk tindakan lanjut.

Selasa lalu, polis turut menyelamatkan 5 lelaki warga Thailand berumur antara 18 dan 28 tahun dan hasil siasatan mendapati semua mangsa mengaku meminta derma di kawasan Ipoh dan bazaar Ramadan untuk membangunkan masjid di Narathiwat, Thailand.

Gan berkata kesemua mangsa bukan hanya dikerah mengemis lebih 10 jam sehari, malah tidak akan diberi makanan jika gagal mengutip derma RM100 sehari.

Kesemua mangsa dibawa masuk ke negara ini oleh suspek yang bertindak sebagai penjaga mereka bersama seorang lelaki dikenali sebagai “Pok Teh” melalui Padang Besar, Perlis dan berada di Ipoh lebih kurang 11 bulan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.