Zaid gesa PH ajak Hindraf sertai pakatan pembangkang

Zaid gesa PH ajak Hindraf sertai pakatan pembangkang

Zaid berkata Hindraf mampu meraih undi kaum India di Johor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

zaid-P-Waythamoorthy
KUALA LUMPUR: Ahli politik yang bersuara lantang, Datuk Zaid Ibrahim mahu Pakatan Harapan (PH) mengajak Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan pengerusi mereka, P Waythamoorthy menyertai pakatan pembangkang.

Bekas menteri undang-undang itu berharap majlis pimpinan PH yang akan bermesyuarat akhir bulan ini membincangkan kemungkinan Hindraf menjadi ahli sekutu.

“Walaupun Hindraf tidak akan didaftarkan sebagai parti politik, Pengerusi P Waythamoorthy dan kawan-kawannya masih boleh menjadi sekutu yang berharga buat PH dan membantu gabungan itu memperoleh undi kaum India di Johor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

“Saya akui terkesan dengan impak Hindraf pada 2008. Walaupun tidak sekuat dulu tetapi ia masih dapat dimanfaatkan dan diperkukuhkan semula.

“Waythamoorthy bersemangat mahu membantu PH dan membuat beberapa siri tawaran mesra kepada pemimpin pembangkang. Mari kita membalasnya dan bawa Hindraf ke dalam pakatan ini sebagai usaha terakhir untuk menang pada piihanraya akan datang.”

Zaid dalam kenyataan hari ini berkata terdapat satu kelemahan dalam pembangkang sejak 2008 iaitu terlalu yakin dengan popularitinya dalam kalangan pengundi India.

Beliau berkata walaupun terdapat ahli India dalam PKR dan DAP, tetapi masih terdapat sekumpulan besar kaum India yang miskin di ladang-ladang dan kawasan miskin bandar “sepertimana kaum lain di negara ini yang merasa selesa hanya dengan organisasi kaum sendiri”.

“Jika orang Melayu yakin PPBM parti yang dianggotai orang Melayu, orang Cina pula yakin DAP parti majoriti Cina, maka kita mesti adil dan menerima kesimpulan yang tidak dapat dielakkan iaitu mereka juga mahukan parti bertunjangkan kaum India”.

Zaid mengakui Waythamoothy mempunyai pengkritiknya tersendiri tetapi itu perkara biasa dalam politik.

Beliau berkata: “Seorang lelaki yang meletak jawatan sebagai timbalan menteri kerana dia tidak melihat apa-apa yang berbaloi daripada pelan tindakan kaum India yang diumumkan perdana menteri pasti tidak mendatangkan mudarat.”

“Dia seorang yang jelas dan bersemangat dalam kepercayaannya bahawa kita mesti menangani banyak masalah dalam masyarakat kita yang terpinggir.

“Dia mungkin pernah membuat beberapa tuntutan yang tidak munasabah pada masa lalu, tetapi mana orang ramai akan perasan jika kita tidak menolak seseorang itu keluar dari zon selesa mereka?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.