Kita tak perlu layan setiap isu dibangkit Dr Mahathir, kata Salleh

Kita tak perlu layan setiap isu dibangkit Dr Mahathir, kata Salleh

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak memberitahu, Dr Mahathir akan berkata bertentangan dengan apa yang disebutkan sebelum ini agar ia sesuai dengan agenda beliau.

Salleh-Said-Keruak-Mahathir-kampung-memali-malaysia
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Umno mempersoalkan keperluan untuk respons terhadap setiap perkara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bangkitkan kerana tidak semua yang diperkatakan beliau ada kebenaran.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak memberitahu, Dr Mahathir akan berkata bertentangan dengan apa yang disebutkan sebelum ini agar ia sesuai dengan agenda beliau.

Memetik 1 kes dalam 3 tahun lalu membabitkan bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, Salleh berkata, Dr Mahathir sebenarnya berada di Malaysia ketika kejadian Memali.

“Adakah Musa silap? Mengapa Dr Mahathir tidak menjawab?

“Jadi anda lihat, Mahathir menghindari daripada bercakap mengenai perkara yang tidak memihak beliau,” kata Salleh kepada FMT.

Ketika itu Musa juga merupakan menteri dalam negeri.

Pada tahun-tahun selepas kejadian Memali di mana 14 orang penduduk kampung dan 4 anggota polis terbunuh pada 19 November 1985 kepercayaan umum adalah Dr Mahathir baharu sahaja meninggalkan negara untuk lawatan rasmi ke China dan melantik Musa sebagai pemangku perdana menteri.

Bagaimanapun, Musa menulis dalam autobiografinya yang dikeluarkan pada April 2014 mendakwa Dr Mahathir berada dalam negara pada masa kejadian Memali. Ini kemudian disahkan oleh Dr Mahathir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan berkata pada awal bulan ini, Dr Mahathir telah cuba mengalih tanggungjawab berhubung isu Memali kepada Musa walaupun berada di dalam negara.

Salleh membangkitkan isu Memali sebagai respons terhadap tuduhan pengerusi Pakatan Harapan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar orang untuk makan bersama beliau pada satu majlis di Permatang Pauh, Khamis lalu.

Dr Mahathir, pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Najib terpaksa bertindak sedemikian kerana jika tidak orang ramai tidak mahu menghadiri program berkenaan.

Sebaliknya Dr Mahathir berkata orang ramai yang hadir program beliau tidak dibayar sebarang duit.

“Kononnya Najib berjuang untuk Islam, tetapi makan duduk bersila, itulah perjuangan Najib yang sebenarnya,” katanya ketika menyentuh lawatan Najib yang turut menghadiri majlis kenduri bersama kira-kira 20,000 orang di Politeknik Seberang Perai.

Majlis itu dijangka dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara paling ramai makan secara bersila dan makan secara berhidang mengikut adat tradisional masyarakat Melayu.

Dr Mahathir yang pernah menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, situasi berbeza terjadi dalam ceramahnya pada kali ini bersama kira-kira 3,000 penduduk Pulau Pinang.

Katanya, rakyat dari Pulau Pinang dan beberapa negeri lain hadir tanpa mendapat sebarang bayaran atau upah bahkan sanggup menunggu hingga ke tengah malam demi mendengar syarahan pemimpin PH.

Acara yang diadakan di Politeknik Seberang Perai menjadi salah 1 daripada program Najib semasa lawatannya ke Pulau Pinang. Beliau juga melawat Langkawi, Kedah semalam.

Sehubungan itu Salleh memberitahu, semasa pilihan raya kecil Sanggang, Pahang pada 2000, orang ramai di ceramah PAS begitu besar sehingga memaksa Dr Mahathir memberi komen mengenainya.

Salleh berkata Dr Mahathir pernah berkata jumlah hadirin tidak penting, di mana PAS “mungkin boleh mendapatkan 50,000 orang untuk ceramahnya dan Umno tidak boleh mendapatkan walaupun beberapa ratus.”

“Tetapi yang penting undian. Umno tanpa hadirin yang ramai memenangi pilihan raya dan PAS kalah.”

Salleh yang juga bendahari Umno menambah, Dr Mahathir boleh berkata bertentangan dengan apa yang disebutkan sebelum ini agar ia sesuai dengan agenda beliau.

“Jadi mengapa perlu untuk respons terhadap apa yang dikatakan beliau?” kata Salleh.

Dr M: ‘Orang hadir majlis Najib kerana duit, program saya tidak’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.