
“Wakil daripada 4 cawangan sebulat suara memberi mandat kepada AAS untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap pelantikan berperlembagaan mereka,” kata Presidennya, Ranbir Singh Sangha kepada FMT.
Beliau berkata keputusan itu dibuat pada persidangan perwakilan luar biasa di Kuching pada Sabtu.
Beliau berkata perwakilan juga mahu perlantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin ditentukan oleh panel khas hakim bersara.
“Kami mempunyai beberapa prosedur yang perlu dilihat sebelum tindakan itu difailkan di Sarawak,” katanya sambil menambah saman AAS adalah berasingan tetapi boleh disatukan dengan Badan Peguam Malaysia.
Beliau berkata AAS yang terdiri daripada cawangan di Bintulu, Miri, Sibu dan Kuching, bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan khusus atau memboikot Raus dan Zulkefli sementara menunggu keputusan mahkamah.
Dalam siaran akhbar akhir Julai lalu, kumpulan peguam Borneo – AAS dan Persatuan Undang-Undang Sabah mendesak Raus dan Zulkefli untuk menimbang semula pelantikan selepas usia persaraan mandatori mereka untuk mengelakkan tanggapan buruk masyarakat terhadap badan kehakiman itu.
Pada 7 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, Raus menyandang jawatan ketua hakim negara bagi tempoh 3 tahun bermula 4 Ogos selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai 28 September.
Dalam sidang akhbarnya pada 5 Ogos, Raus mempertahankan pelantikannya, mengatakan tindakan itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dibuat mengikut undang-undang.
Beliau berkata adalah lebih baik mahkamah membuat keputusan kerana terdapat 2 pandangan berbeza mengenai perkara itu.
Para peguam dan hakim bersara berpendapat perlembagaan tidak membenarkan hakim tambahan menyandang jawatan pentadbiran.
Bekas ketua hakim negara, Tun Zaki Azmi yang mendakwa pelantikan itu sah, berkata peruntukan untuk hakim tambahan digunakan kerana Raus dan Zulkefli hanya berada dalam jawatan mereka sejak 1 April.
Selanjutnya, beliau berkata peruntukan perlembagaan yang membenarkan mereka kekal dalam jawatannya sehingga 66 tahun dan ditambah 6 bulan lanjutan adalah kuno berbanding dengan negara Komanwel yang lain.
Pada 3 Ogos, Badan Peguam dalam undian besarnya tidak meletakkan keyakinan terhadap Raus dan Zulkefli dan juga memperoleh mandat untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap kedua-dua mereka.
Badan itu juga bertegas enggan menjemput Zulkelfi dan Raus ke mana-mana majlis sosial anjuran mereka.
Presidennya, George Varughese berkata, Majlis Peguam juga berpendirian hakim Mahkamah Persekutuan tidak sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu kerana mempunyai konflik kepentingan.
Beliau menggesa Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad menguatkuasakan Perkara 131A, dibaca bersama Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim paling kanan menjalankan kuasa ketua hakim negara semasa ketidakupayaan atau ketiadaannya.
Beliau berkata disebabkan oleh ketidakupayaan Raus dan Zulkefli, Ahmad sebagai hakim paling kanan seterusnya dalam badan kehakiman, boleh bertindak menjalankan kuasa sebagai ketua hakim dan memberi nasihat kepada Agung.
Tidak jelas sama ada badan kehakiman itu telah memfailkan tindakannya terhadap Raus dan Zulkefli tetapi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memfailkan permohonan semakan kehakiman yang dijadualkan didengar pada 24 Oktober.