
Dalam video 2 minit dan 35 saat yang dimuatnaik di Facebook hari ini, beliau berkata tindakan “merantai” itu bertujuan menghantar mesej kepada pihak berkuasa agar menjalankan tugas membaiki masalah jalan berlubang yang menganggu pengguna jalan raya di Persiaran Atmosfera, Shah Alam.
“Saya pengarah filem dan penulis skrip. Ini cara saya. Bila saya kononnya rantai, saya sudah minta izin pengawal keselamatan. Dua kali saya minta izin, periksa rakaman kamera litar tertutup ada tunjuk saya masuk dan bercakap dengan pihak keselamatan,” katanya.
Lando, atau nama sebenar Azlan Sani Zawawi, bersama isteri yang sedang mengandung dan seorang kawan, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh Jumaat lepas selepas memberi keterangan kepada polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmad berkata mereka bertiga disiasat kerana mengurung secara salah dan ugutan jenayah.
“Ketiga mereka dijamin petang semalam, kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya esok,” kata Fadzil.
Lando berkata beliau hanya menutup pintu masuk pejabat tanah itu dan “merantai” selama 45 saat.
“Macam mana nak caj saya kurung secara salah? Tanya pengawal keselamatan ada ancaman ke tidak. Jadi, itu adalah tuduhan yang salah, tidak berasas, laporan polis palsu,” katanya.
Pelakon itu memberitahu FMT beliau dimaklumkan polis sudah selesai menjalankan siasatan ke atasnya.
“Kalau polis perlukan sesuatu, mereka akan panggil saya,” katanya.
Nama Azlan mulai terkenal pada 2014 apabila beliau dan rakan-rakannya menurap jalan berlubang serata Kuala Lumpur.
Mereka menggelar diri Ikatan Silaturrahim Brotherhood dan menjelaskan usaha itu sekadar berkhidmat kepada pengguna jalan raya.
Beliau turut bersuara mengenai isu yang dihadapi pengguna motorsikal dan langkah keselamatan yang mereka perlu ambil.
Muatnaik Facebook itu boleh ditonton di sini.