Muhyiddin yakin di Pagoh, ‘doa’ calon BN semoga berjaya

Muhyiddin mengetuai sidang media yang turut dihadiri, penyandang Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul (kanan) dan Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Md Nor (kiri).

PETALING JAYA: Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin tampak yakin akan peluangnya di Parlimen Pagoh dan mendoakan semoga lawannya, Ismail Mohamed dari BN, berjaya menghadapinya di kerusi yang disandang sejak 1978.

Pertarungan antara Muhyiddin dan Ismail dijangka menjadi 3 penjuru selepas PAS mengumumkan penyertaan Ahmad Nawfal, anak kepada Ketua Dewan Ulama Mahfodz Mohamed.

“Saya doakan Ismail menang lawan saya, saya pun doa juga supaya saya menang. Ismail dulu timbalan saya (di Pagoh) dan saya tak nak memperlekehkan beliau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan senarai calon yang akan berdepan PH dan Gagasan Sejahtera pada pilihan raya akan datang.

Ismail sekarang memangku jawatan ketua Umno Pagoh selepas pemergian Muhyiddin daripada parti itu.

“Menteri besar kata nak kalahkan saya. Kita bebas bertanding, tak payah nak mengata dan masing-masing ada kekuatan,” kata Muhyiddin.

Bekas timbalan perdana menteri dan menteri besar Johor ini menyerahkan sepenuhnya kepada pengundi Pagoh untuk menentukan pemimpin yang layak mewakili mereka.

“Dalam himpunan Pakatan Harapan di Pagoh sebelum ini, tidak pernah dalam sejarah, yang hadir hampir 10,000 orang. Nampak sangat respons pengundi di situ dan sekitar daerah Muar kepada PH luar biasa. Ini sebahagian daripada gelombang rakyat yang mula terasa di mana-mana sahaja,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin menepis dakwaan pihak tertentu mengatakan Pakatan Harapan akan membuang penjawat awam sekiranya menawan Putrajaya.

Sebaliknya, Pakatan Harapan mahu menambahbaik perkhidmatan awam seiring dengan perkembangan semasa.

“Tuduhan BN bahawa PH akan mengabaikan kebajikan penjawat awam termasuk mengurangkan bilangan mereka adalah tidak benar sama sekali. Komitmen PH adalah untuk terus meningkatkan tahap profesional dan kecekapan penjawat awam selaras dengan tanggungjawab mereka yang semakin mencabar,” katanya.