Menteri gesa IPTA jangan halang program ilmiah

Menteri gesa IPTA jangan halang program ilmiah

Maszlee Malik mahu IPTA menjadi medan intelektual terbuka dan setaraf dengan negara maju.

Free Malaysia Today
Maszlee (3 dari kanan) ketika mengagihkan duit raya kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11. (Gambar bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan hari ini menggesa semua Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia terbuka dan tidak menghalang program ilmiah yang dianjurkan mahasiswa.

Menteri Maszlee Malik mahu IPTA menjadi medan intelektual terbuka dan setaraf dengan negara maju.

“Kita tidak mahu lagi ada sekatan terhadap program-program ilmiah, debat, forum dan wacana-wacana.

“Kita inginkan suasana universiti di Malaysia seperti universiti di negara maju seperti Havard, Oxfard dan Cambridge. Pertukaran idea bebas berlaku,” katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1).

Maszlee juga berkata mulai hari ini, universiti awam tidak boleh lagi menghadkan kemasukan kenderaan peserta wacana, debat atau forum.

“Kita mahu banyak wacana, debat dan forum di univeristi tanpa sekatan seperti yang dilakukan dulu,” katanya.

Maszlee mengingatkan walaupun tiada tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap universiti yang tidak mematuhi arahan itu, tetapi “sudah tentu akan dikritik oleh warga universiti itu sendiri”.

Kerjasama kolej dan tahfiz

Dalam perkembangan lain, Maszlee menyarankan pusat tahfiz menyediakan kemahiran kepada pelajar mereka supaya dapat menambah kemahiran dan memberi peluang pekerjaan yang lebih luas.

Beliau berkata sekolah tahfiz boleh bekerjasama dengan kolej komuniti untuk melatih pelajar tahfiz melengkapkan kemahiran mereka.

“Misalnya kita perlukan kemahiran dalam bidang perindustrian dan sebagainya, ditambah dengan saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerokai ilmu keusahawanan.

“Agar mereka tidak jadi ‘pak imam’ sahaja tetapi mempunyai bakat membangunkan industri kecil dan sederhana,” katanya.

Selain itu, Maszlee memberi kuasa kepada guru besar dan guru sekolah membuat inisiatif meringankan beg sekolah pelajar sekolah rendah.

Kementerian juga menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji dan meringankan beban beg sekolah pelajar sekolah rendah.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.