
Beliau berkata, Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang akan membentuk keanggotaan dalam jawatankuasa itu selepas Hari Raya.
“Jawatankuasa itu baru diluluskan di peringkat Kabinet dan Ambrin akan bentuk keanggotaan dalam jawatankuasa lepas raya sebelum mulakan siasatan,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Guar Petai, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan kepimpinan Pakatan Harapan negeri.
Katanya, Jawatankuasa Siasatan Khas itu akan menyiasat semua salah laku dan penyelewengan dalam semua kementerian, termasuk Kementerian Pertahanan.
Ahli Parlimen Kota Raja itu yang terkenal dengan panggilan Mat Sabu berkata, kementeriannya sedia memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Siasatan Khas itu.
“Saya dengar ada skandal dalam kementerian, jadi kami bersedia untuk memberikan segala maklumat yang ada untuk membantu siasatan.”
Beliau turut yakin dengan kewibawaan Ambrin yang mampu menjalankan tanggungjawab berat itu.
“Beliau (Ambrin) merupakan bekas ketua audit negara, jadi dia mampu membuat forensik audit dan penyelidikan dengan baik.”
Katanya, setakat ini, tiada sebarang masa ditetapkan untuk siasatan itu.