
Difahamkan polis membuka kertas siasatan terhadap penerbitan artikel tersebut awal bulan ini, yang berdasarkan laporan Straits Times Singapura (ST).
Polis menghubungi editor FMT berhubung laporan yang bertajuk “Laporan: Pecat, 3 jabatan akan dibubar dalam pasukan polis” dan dijangka menyoal siasat mereka minggu depan.
Ini merupakan kali pertama polis menyiasat pihak media sejak pilihan raya 9 Mei lalu, selepas kerajaan dilihat membuat perubahan besar dalam landskap media Malaysia, di mana kerajaan baharu berjanji mengkaji semula undang-undang yang menyekat kebebasan media.
Pada 11 Jun lalu, FMT memetik ST sebagai berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun adalah antara pegawai kanan polis yang dijangka dipecat pada Julai, berikutan Putrajaya mengubah fokus “pembersihannya” kepada pasukan itu.
ST juga melaporkan 3 jabatan “penuh rasuah” akan ditutup, iaitu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING).
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menafikan laporan itu.