
“Jangan letakkan saya dalam satu kumpulan yang sama dengan Mustapa,” katanya lapor Berita Harian.
“Saya Rafidah Aziz. Saya putuskan apa saya nak buat. Saya tak ikut orang. Saya tak kisah apa mereka nak buat, nak lompat katak atau apa saja. Saya bukan nak sertai PPBM kerana ada orang bodoh nak sertainya,” katanya dalam naga tegas.
Rafidah diusir daripada Umno sebelum pilihan raya umum pada Mei kerana pandangannya mengecam perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli politik veteran ini berkata dia membantu kempen Pakatan Harapan ketika itu kerana mahu mendesak perubahan, kerana dia usianya tidak lagi berminat dengan jawatan.
“Saya sudah 75 tahun. Saya dah bersara. Cukup-cukuplah,” katanya.
Rafidah sudah menyampaikan hasrat menyertai PPBM kepada Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi belum sempat mengisi borang keahlian.
“Pada saya, di mana hati kita berada itu lebih penting. Menandatangani borang itu hanya simbolik,” katanya.
Pemuda PPBM sambut baik
Sementara itu, Pemuda PPBM menyambut baik keinginan Rafidah menyertai PPBM dan berkata parti itu memerlukan lebih ramai watak politik yang tidak cenderung ke arah rasuah yang dilakukan “pentadbiran lama”.
Exco Hannaan Khairy
berkata Rafidah sesungguhnya “orang” PPBM kerana dari awal lagi beliau berkempen menentang Najib dan Barisan Nasional.
“Kami yakin dengan kehadiran Rafidah akan membantu menguatkan lagi PPBM serta dapat membantu meningkatkan lagi keyakinan rakyat untuk menyertai PPBM terutamanya dalam kalangan wanita,” katanya.
“Selamat datang Rafidah Aziz ke PPBM. Kami dengan hati terbuka menerima kehadiran Tan Sri ke PPBM.”