
Ada sahaja perkara yang membuatkan kita terpegun mengenai China. Kali ini sebuah hotel yang bukan sebarangan, tetapi di bina di bawah tanah dan kini dibuka untuk umum.
Hotel mewah bertaraf 5 bintang bawah tanah itu adalah pertama seumpamanya di dunia berlokasi di Songjiang, Shanghai boleh ditempah untuk diduduki bermula 20 November ini.
InterCotinental Shanghai Wonderland merupakan bangunan setinggi 18 tingkat, dengan 16 tingkat berada di bawah paras tanah dan 2 tingkat lagi tenggelam dalam akuarium 10 meter (33 kaki) dalam.

Direka oleh Kumpulan Atkins SNC-Lavalin meliputi kawasan seluas 61,000 meter persegi termasuk kompleks rekreasi untuk sukan bungee jump, pendakian batu dan sukan air.
InterContinental Shanghai Wonderland ini mempunyai 336 buah bilik yang menghadap air terjun dari balkoni setiap biliknya.
Menurut Pengarah Reka Bentuk Kanan di Atkins SNC-Lavalin, Jason Hutchings kepada South China Morning Post, InterContinental Shanghai Wonderland menggunakan idea rekaan landskap persekitaran semulajadi.

“Hotel ini berfokuskan teknologi hijau yang menggunakan tenaga solar dan geoterma dalam operasinya,” ujarnya.
Tempahan bagi InterContinental Shanghai Wonderland boleh dilakukan sekarang dengan harga bermula dari 3380 yuan atau 490 dolar satu malam.