
Kanak-kanak antara yang tidak suka memakan sayur-sayuran. Namun, ia adalah sumber makanan yang terbukti baik untuk kesihatan, kaya dengan zat nutrisi.
Pandai-pandailah ibu bapa memujuk anak memakan sayur. Ada juga orang dewasa pun masih ‘berjuang’ untuk menelan sayur. Apapun, anda kena juga ‘menjinakkan’ diri untuk makan sayur sama ada dengan mempelbagaikan cara penyajian atau belajar makan sesetangah sayur secara mentah.
Sebenarnya, cara memasak sayur menggunakan api boleh menghilangkan nutrisinya. Bagaimanapun bukan semua sayur dimakan mentah kerana kandungan serat dalam sayuran mentah sukar dicerna dan anda mungkin akan masalah sakit perut.
Laman web Live Strong berkongsi beberapa jenis sayur yang tak boleh dimakan mentah.
1. Terung
Terung salah satu jenis sayur yang mengandungi sebatian solanin. Sebatian ini menyekat penyerapan kalsium.
Solanin juga boleh menjadi racun sehingga menyebabkan beberapa gejala umum seperti muntah, kejang otot perut, mual, sakit kepala, dan cirit-birit.
2. Kentang
Sama seperti terung, kentang juga mengandung sebatian solanin yang tak baik untuk tubuh.
Salah satu kesan kewujudan solanin dalam kentang ialah warna hijau yang mengindikasi kadar solanin yang tinggi. Bukan itu sahaja, kandungan solanin yang tinggi juga boleh menyebabkan kentang sukar dicerna selepas makan.
3. Kacang pea
Beberapa jenis sayur berasaskan kacang berbahaya jika dimakan mentah.
Kacang pea misalnya mengandungi glikosida sianogen. Ia merupakan sejenis racun dari keluarga sianida. Lazimnya anda kena rendamnya sebelum masak dan makan.
4. Taugeh
Walaupun merupakan salah satu ‘sayur’ yang murah, lazim dimakan bersama mi goreng, tetapi elak makannya secara mentah. Ini kerana taugeh yang tidak dimasak mengandungi bakteria berbahaya seperti E. Coli, Salmonella dan Listeria. Nanti keracunan makanan jadinya!
5. Brokoli dan kubis bunga
Menurut kajian Scientific American, brokoli dan kobis sebaiknya dimakan selepas memasak untuk mendapatkan zat optimum. Proses memasak akan melepaskan indole, sejenis sebatian organik yang boleh melawan sel-sel pra kanser.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]