Model ‘berusia’ jadi tarikan jenama mewah jual pakaian, aksesori

Model ‘berusia’ jadi tarikan jenama mewah jual pakaian, aksesori

Yinhong akui tidak pernah keluar rumah tanpa bersolek dan dia ternyata sedikit pun tidak kelihatan seperti usianya.

Ma Yinhong, 56, bukanlah ‘orang lama’ dalam dunia peragaan, malah baru menjadi model profesional sejak 2 tahun lalu. (Gambar AFP)

Ma Yinhong adalah salah seorang model yang namanya sedang menginjak naik di pesada pentas peragaan di China.

Namun, wanita ini bukan seperti model biasa yang anda bayangkan.

Pada usia memasuki siri-5, Yinhong tidak kekok melangkah segak dengan aksi ‘catwalk’ di atas pentas sebagai seorang model yang ada ‘attitude’.

Pada usia 56 tahun, Yinhong bukanlah ‘orang lama’ dalam dunia peragaan, malah baru menjadi model profesional sejak 2 tahun lalu.

Antara pertunjukan fesyen terkenal yang disertai ialah untuk label fesyen terkenal Dolce & Gabbana.

Yinhong akui tidak pernah keluar rumah tanpa bersolek dan dia ternyata sedikit pun tidak kelihatan seperti usianya.

Ma Yinhong tak pernah terlepas rutin senaman pagi dan mendandan rambut. (Gambar AFP)

Bertubuh kuat, pandangan yang tajam, kedutan dilembutkan melalui solekan, Yinhong tak pernah ‘miss’ rutin senaman pagi dan mendandan rambut.

Yinhong ditemui AFP dalam satu pertunjukkan fesyen yang mengabungkan model-model dari pelbagai usia muda dan tua, serta model asing.

Jika selama ini, warga emas hanya digunakan sebagai model untuk iklan kebajikan, insuran, suplemen makanan dan kesihatan, kini wanita seperti Yinhong turut mendapat tempat dalam pertunjukkan fesyen jenama mewah dan popular.

Ini ekoran kesedaran warga emas di China yang turut memberi keutamaan kepada penjagaan penampilan diri dan fesyen.

“Mereka letakkan saya sebagai model utama dalam pertunjukkan fesyen, selepas model-model muda buat penampilan. Saya akan keluar pada saat terakhir sekaligus menjadi perhatian,” kata Yinhong.

Menurut perangkaan, menjelang 2050, 1 daripada 3 orang di China atau 487 juta orang adalah daripada mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Agensi berita Xinhua menyatakan jumlah itu lebih tinggi daripada penduduk Amerika Syarikat.

Bahkan model tua menjadi buruan pelbagai pihak dan jenama besar untuk mempromosikan pakaian, aksesori, dan kosmetik kerana mereka dianggap lebih berkesan daripada model muda.

“Pasaran untuk model ‘tua’ di China tidak besar, tetapi berkembang dengan baik sekali,” kata Michelle Chien dari salah satu agensi permodelan terbesar di China, ESEE Model Management.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.