
Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM negeri, Mohd Noor Ahmad berkata bayi itu dilahirkan seorang kanak-kanak warga Myanmar berusia 11 tahun pada 25 Julai lepas di HSJ dalam keadaan pramatang serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana mengalami beberapa komplikasi kesihatan.
“Berdasarkan maklumat yang JKM dapat, ibu bayi itu Nur Begum Muhammad Sultan, 11, seorang pelarian Rohingya dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) meninggalkan anaknya kerana keadaan kesihatan bayi dan tidak mempunyai wang untuk membayar caj hospital.
“Bayi malang itu selepas dilahirkan mengalami komplikasi buah pinggang dan paru-paru sebelum ditempatkan di NICU HSJ,” katanya semalam.
Ibu bayi tersebut dibenarkan pulang ke rumah selepas melahirkannya, namun dia tidak pernah datang semula ke HSJ untuk melawat anaknya malah tidak lagi ditemui serta gagal dihubungi sehingga hari ini.
Noor berkata orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ibu bapa atau anggota keluarga bayi itu diminta menghubungi JKM Pulau Pinang di talian 04-5382584.