3 korban Covid-19, jumlah pesakit sembuh hampiri 2,000 kes

3 korban Covid-19, jumlah pesakit sembuh hampiri 2,000 kes

Jumlah pesakit yang sembuh meningkat kepada 1,995 orang, susulan pertambahan 165 orang hari ini.

PUTRAJAYA:
Tiga kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 73 pesakit meninggal dunia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 184 kes baru dilaporkan hari ini berbanding 118 semalam, menjadikan semuanya 4,530 kes.

Katanya, 72 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Daripada jumlah itu, 38 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

Seramai 2,462 pesakit positif Covid-19 masih dirawat di hospital seluruh negara.

Katanya, jumlah pesakit yang sembuh meningkat kepada 1,995 orang, susulan pertambahan 165 orang hari ini.

Hisham berkata, kematian ke-71 ialah lelaki berumur 66 tahun yang mempunyai rekod penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

Katanya, pesakit itu yang merupakan kontak rapat kes positif kluster perhimpunan Masjid Sri Petaling, meninggal dunia 12.05 tengah hari tadi di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kematian ke-72 ialah lelaki berumur 71 tahun dengan rekod penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Katanya, pesakit berkenaan dirawat di Hospital Sungai Buloh sejak 15 Mac lalu dan meninggal dunia 11.15 pagi tadi, manakala kematian ke-73 membabitkan lelaki berusia 63 tahun dengan rekod penyakit darah tinggi.

Beliau berkata, pesakit itu dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sejak 25 Mac lalu dan meninggal dunia 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, Hisham berkata, 224 kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan turut dijangkiti virus itu, tetapi tiada kes yang berpunca daripada pengendalian pesakit di wad atau ICU Covid-19.

Katanya, 150 kes berpunca daripada komuniti luar, 33 kes masih dalam siasatan dan 41 kes ada kaitan dengan pesakit, termasuk 29 kes daripada pesakit Severe Acute Respiratory Infection, 9 daripada pesakit tidak diketahui status sebelum dirawat serta 3 daripada aktiviti saringan dan lain di lapangan.

Beliau berkata, KKM sentiasa mengutamakan keselamatan anggota kesihatan, khasnya petugas barisan depan, dengan mengambil pelbagai langkah termasuk menyediakan alat perlindungan kepada mereka.

Beliau menasihatkan semua anggota kesihatan dan barisan
depan, termasuk pengamal perubatan swasta dan NGO yang merawat pesakit sentiasa memakai topeng.

Dalam perkembangan lain, Hisham berkata, Kluang merekodkan 7 kes baru, Hulu Langat (11 kes), Selangor Mansion (32 kes) dan tiada kes baru daripada Malayan Mansion serta Menara City One, semuanya di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.