Kedai Harry Potter dibuka minggu depan

Kedai Harry Potter dibuka minggu depan

Peminat tegar filem itu yang sudah lama menanti pembukaannya akhirnya berpeluang mengunjungi kedai terbabit

Rekaan dalaman kedai diinspirasikan daripada filem Harry Potter untuk memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung. (Gambar Instagram Harry Potter Store New York)

Selepas sekian lama menantikan pembukaan kedai Harry Potter di New York, peminat tegar filem ahli sihir itu akhirnya berpeluang untuk melangkah masuk ke premis yang akan dibuka secara rasmi minggu depan.

Peminatnya pasti rambang mata melihat pelbagai pilihan barangan yang dijual di kedai itu kerana premis seluas 21,000 kaki persegi berkenaan menghimpunkan koleksi terbesar barangan Harry Potter.

Terletak di Flatiron, rekaan dalaman kedai terbabit dirancang secara teliti bagi memberi gambaran sebenar seperti ditampilkan dalam siri filem berkenaan.

Ia juga membolehkan mereka merasai suasana sebenar dalam dunia Harry Potter dan seakan-akan berada di dalam siri filem yang pernah menjadi fenomena di seluruh dunia itu.

Peminat juga boleh mencuba sendiri kasut but milik Hagrid, menggembara ke Kementerian Sihir menerusi pondok telefon berwarna merah.

Selain itu, mereka berpeluang ‘mencuci mata’ dengan melihat pelbagai prop atau objek digunakan dalam filem itu yang dipamerkan dengan penuh tersusun bersama barangan Harry Potter.

(Gambar Instagram Harry Potter Store New York)

Menurut Naib Presiden Eksekutif Warner Bros, Sarah Roots, perincian yang begitu teliti dihasilkan menerusi rekaan dalaman itu bertujuan memberi satu pengalaman berbeza kepada pengunjungnya.

“Tahap perincian artistik dan kualiti rekaan dalaman yang diinspirasikan daripada filem Harry Potter bermaksud kedai ini akan membawakan satu pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Setiap peminat pasti menemui sesuatu yang istimewa di kedai ini kerana terdapat lebih 1,000 prop sihir termasuk sebahagiannya yang pernah digunakan dalam siri filem Harry Potter.

“Rangkaian produk yang ditawarkan juga amat menarik selain pengunjung berpeluang mengambil gambar di sekitar kedai ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.