Murahnya hati, penunggang e-panggilan tak ketinggalan hulur sumbangan

Murahnya hati, penunggang e-panggilan tak ketinggalan hulur sumbangan

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng terharu dengan sumbangan bank makanan oleh penunggang Foodpanda.

Lim Lip Eng dan penunggang Foodpanda di bank makanan di pusat khidmat Ahli Parlimen Kepong itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gaji mereka mungkin tidak semewah eksekutif berjawatan tinggi, namun ini tidak menghalang 90 penunggang e-panggilan di Kepong, Kuala Lumpur, mengambil inisiatif mengumpul wang dan menyumbang kepada bank makanan yang diwujudkan oleh seorang Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengongsikan rasa terharunya di Facebook selepas seorang penghantar Foodpanda menghampiri bank makanan itu semalam. Malah Lim mengakui pada awalnya menyangka lelaki itu datang untuk mendapatkan bantuan.

Lim bagaimanapun terkejut selepas penunggang yang hanya mahu dikenali sebagai Chris itu memaklumkan beliau mahu memberi sumbangan.

Chris memaklumkan, kira-kira 90 penghantar makanan di Kepong mengumpul wang untuk membeli barangan untuk disumbangkan kepada bank makanan itu.

Mereka kemudian menyerahkan lebih 15 kotak makanan dalam tin untuk diedarkan kepada golongan memerlukan.

“Chris turut memaklumkan mereka telah mengumpul wang tunai berjumlah RM1,000 yang diberikan kepada sebuah kafe untuk menyediakan makanan bagi golongan yang memerlukan.

Chris menaiki motosikalnya selepas menemui Lim Lip Eng.

“Beliau berulang kali meminta saya menghubunginya sekiranya kami memerlukan sebarang bantuan.

“Begitu mulianya penunggang kita ini. Dalam pada ramai yang bergelut meneruskan kehidupan, mereka begitu bersedia menghulurkan bantuan. Sedangkan setahu saya, pendapatan penunggang ini juga terjejas akibat PKP (perintah kawalan pergerakan).

“Seorang penunggang lain sebelum ini menceritakan kepada saya bagaimana mereka mampu meraih RM100 sehari sebelum PKP. Namun ketika PKP untuk mendapat RM50 pun susah,” katanya mengakui sikap pemurah penghantar makanan itu menyentuh hatinya.

Lim berkata, sebagai seorang wakil rakyat, beliau malu melihat lebih banyak bantuan dihulurkan oleh rakyat Malaysia sendiri dengan merujuk contoh contoh pergerakan Bendera Putih di negara ini.

“Bantuan yang saya berikan kepada penduduk di Kepong selama ini juga semuanya dalam kalangan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sendiri yang sebenarnya membantu sesama mereka yang berada dalam kesusahan.

“Saya berazam membantu mereka yang memerlukan sebaik mungkin. Selagi ada kudrat untuk membantu, saya akan melakukan yang terbaik untuk penduduk Kepong.”

Sekiranya memerlukan bantuan ketika tempoh sukar ini, di sini senarai beberapa individu dan organisasi di seluruh negara yang bersedia memberikan pertolongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.