
Suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada 2.20 petang, hasil maklumat diterima daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim, berkata operasi memburu suspek dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Penampang.
Katanya, bertindak atas maklumat, operasi memburu suspek terus dijalankan sebelum berjaya menahannya.
“Kejayaan tangkapan terakhir ini berjaya menyelesaikan kes tahanan melarikan diri dalam tempoh 36 jam selepas dilaporkan pada 3.30 pagi semalam.
“IPD Penampang mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek yang diburu sejak semalam,” katanya ketika dihubungi.
Haris berkata, keempat-empat suspek yang berjaya ditahan semula akan diambil tindakan pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang mempunyai kontak rapat atau pernah bertemu dengan keempat-empat tahanan berkenaan membuat ujian calitan Covid-19.
Dalam kejadian 3.30 pagi semalam, keempat-empat tahanan yang disahkan positif Covid-19 melarikan diri dari pusat berkenaan.