
Seekor anak kucing bertelinga empat telah diselamatkan oleh seorang penganalisis kewangan dari Pennsylvania, Amerika Syarikat, ketika dia menyertai kerja-kerja sukarela bersama Pusat Perlindungan dan Pengambilan Haiwan.
Aslan yang berusia setahun adalah antara 14 ekor kucing yang diselamatkan misi tersebut pada hari itu.
Pertama kali melihat kucing tersebut Swati Komanduri, 41, terus memutuskan untuk membawanya pulang dan menamakannya Aslan.
“Kini, dia adalah pengarang hati saya. Setiap malam Aslan akan tidur dan memeluk saya. Dia banyak cakap dan suka bersosial. Dia selalu meminta untuk berjalan-jalan,” ujar Swati.
Menceritakan pengalaman bertemu Aslan, menurut Swati dia dimaklumkan bahawa sekumpulan kucing ditemui berdekatan sebuah bengkel pada Jun tahun lalu.
“Saya diberitahu ada 14 ekor anak kucing yang diselamatkan hari ini. Ketika saya pergi ke lokasi untuk mengambil kucing-kucing tersebut, saya diberitahu ada seekor anak kucing bertelinga empat.
“Saya tidak pernah lihat atau mendengar anak kucing mempunyai empat telinga sebelum ini dan saya benar-benar terkejut.
“Saya mula memeluk dan menciumnya. Dia sangat kecil, hanya sebesar tapak tangan saya. Saya tahu dia akan pulang bersama saya. Ia seperti cinta pandang pertama. Dia sangat comel!” ujar Swati.
Keadaan Aslan yang mempunyai 4 telinga tidak mendatangkan apa-apa isu kepada kucing tersebut. Namun, Aslan mempunyai masalah untuk makan.
“Dia menghadapi kesukaran untuk makan. Kadang-kala dia menolak makanan basah dengan lidahnya sehingga terkeluar dari mangkuk atau piring,” katanya lagi.
Menurut Swati, Aslan telah dilatih dan mereka sering menghabiskan masa berdua berjalan di laman belakang rumah.
“Aslan adalah seekor kucing yang berani. Tidak kira rumah siapa yang kami kunjungi, dia tidak akan takut kepada apapun, baik manusia mahupun haiwan lain”, jelasnya.
Kini, Aslan merupakan bintang di media sosial. Dengan populariti yang diraih, Swati mahu mendorong orang lain untuk mengambil binatang dengan ciri istimewa seperti Aslan sebagai haiwan peliharaan.
“Saya sangat gembira mendapat hak istimewa untuk menjaganya. Dia adalah milik saya selama-lamanya,” akhiri Swati.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]