Aneh! pemancing tangkap ikan ‘gigi manusia’

Aneh! pemancing tangkap ikan ‘gigi manusia’

Sheepshead atau ikan banduan ini boleh membesar sehingga mencecah 91sm.

Ikan Sheepshead banyak ditemui di pesisir laut Atlantik dan menjadi sasaran kaki pancing kerana rasanya yang enak.

Minggu lalu, tiga pemancing di Pelabuhan Jennette di Carolina Utara tidak menyangka berjaya menaikkan bukan saja hasil tangkapan yang terkenal enak, tetapi juga aneh rupanya kerana mempunyai gigi yang saling tak tumpah seperti gigi manusia.

Benar, makhluk dengan susunan giginya yang hampir sempurna ini adalah ikan, dan bukan, gigi tersebut bukan gigi manusia.

Dikenali sebagai Sheepshead (atau nama saintifiknya Archosargus probatocephalus), ikan yang sering ditemui di pesisir laut Atlantik itu juga tersohor dengan jolokan ikan banduan kerana jalur hitam di badannya yang seakan baju tahanan penjara.

Oleh kerana ia banyak ditemui di sekitar New York hingga ke Brazil, Teluk Sheepshead di Brooklyn turut dinamakan bersempena ikan unik itu.

Difahamkan ikan ini mampu membesar sehingga mencecah 91 sentimeter dan hidup dengan memakan pelbagai jenis hidupan bercengkerang seperti tiram, kima, krustasia dan tumbuhan laut pelik lain.

Memandangkan bentuk giginya yang serupa dengan gigi manusia, tidak hairanlah dietnya agak pelbagai dan seperti haiwan omnivor. Menurut Scientific American, gigi depan Sheepshead paling dekat dengan gigi manusia dan turut dilapisi enamel.

Gigi ini tumbuh secara berperingkat sepanjang hidupnya, bermula dengan memakan haiwan bertubuh lembut hingga kepada menu bercengkerang yang lebih berat apabila ia matang. Dalam gambar yang dikongsi di Facebook oleh Jennette’s Pier, anda dapat lihat sendiri dua baris gigi geraham yang baru tumbuh di bahagian belakang rahang bawah ikan itu.

Dengan satu set gigi yang padu kunyahannya, adakah seekor ikan Sheepshead mampu mengancam manusia? Menurut David Catania, pengurus koleksi ichthyology di California Academy of Sciences, jawapannya berkemungkinan tidak.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk berenang di perairan yang dihuni oleh ikan-ikan ini,” kata Catania kepada Snopes.com. “Mereka tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada manusia kecuali jika diganggu. Oleh karena ia enak dimakan, Sheepshead sering menjadi sasaran pemancing, jadi setiap tangkapan perlu dikendali dengan berhati-hati kerana ia mungkin akan menggigit atau mencucuk dengan siripnya yang tajam.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.