Culik saja menteri Nato di Ukraine, kata ahli parlimen Rusia

Culik saja menteri Nato di Ukraine, kata ahli parlimen Rusia

Oleg Morozov berkata demikian dalam rancangan bual bicara 60 minutes disiarkan rangkaian televisyen kebangsaan Rossiya-1, semalam.

Beberapa ahli politik dari Barat telah melawat Kyiv, termasuk Lloyd Austin dan Antony Blinken dari AS. (Gambar AP)
LONDON:
Seorang ahli parlimen kanan di Rusia mencadangkan supaya seorang menteri pertahanan Nato di Ukraine diculik dan dibawa ke Moscow untuk disoal mengenai “arahan” diberikan oleh negara Barat kepada Kyiv.

Oleg Morozov ahli parti United Russia yang pertama kali dilantik ke parlimen Rusia pada 1993, berkata bekalan senjata Barat ke Ukraine menjadi ancaman langsung yang mungkin memerlukan Moscow menyemak semula sasaran ketenteraannya.

“Mungkin ini sekadar perancangan khayalan saya… bahawa dalam masa terdekat, seorang menteri pertahanan dari sebuah negara Nato akan menaiki kereta api ke Kyiv untuk berbincang dengan (presiden Ukraine Volodymyr) Zelensky. Tetapi tidak sampai sebaliknya apabila terjaga, sudah berada di Moscow,” kata Morozov dalam rancangan bual bicara 60 minutes disiarkan rangkaian televisyen kebangsaan Rossiya-1, semalam.

“Maksud kamu, kita menculiknya?” soal hos rancangan itu Olga Skabeyeva dengan senyum.

“Ya, dan kita akan mengetahui siapa yang memberi arahan untuk apa, siapa yang bertanggungjawab untuk apa sebenarnya,” jawab Morozov.

Morozov dan Skabeyeva tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Beberapa ahli politik Barat melawat Kyiv sebagai tanda solidariti dengan Ukraine. Ini termasuk setiausaha pertahanan AS Lloyd Austin yang melawat pada April bersama setiausaha negara Antony Blinken.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.